PELAKON Zarina Zainuddin mendoakan agar hubungan aktres Anna Jobling dan ibunya, Azni Arop yang kini berantakan kembali pulih.
Zarina atau nama penuhnya Nur Zarina Mohd Zainuddin, 54, berkata, Anna dan ibu perlu berbaik kerana bimbang berlaku penyesalan di kemudian hari seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Bila mak sudah tiada esok menyesal pun tak berguna.
Jangan jadi seperti saya asyik bergaduh sahaja sebab sakit hati kenapa waktu kecil mak saya tak jaga dan sudah besar baru cari.
“Akhirnya, bila mak sudah tiada, saya rasa rugi tidak menghabiskan masa dengan dia. Semoga Anna dan ibunya berbaik semula,” katanya dalam ruangan komen satu hantaran Instagram Kosmo! Online berkaitan kemelut pelakon itu dengan ibunya baru-baru ini.
Tambah Zarina, status seorang ibu tidak akan pernah terpadam meski dihasut dengan pelbagai kata-kata nista individu lain.
“Orang luar racunlah sahaja apa pun, tetapi ibu tetap ibu, tiada dua.
“Doa ibu sangat mustajab untuk rezeki kita,” ujarnya.

TANGKAP layan nasihat yang dititipkan Zarina buat pelakon Anna Jobling yang kini berdepan kemelut dengan ibu.
Komen tersebut ditulis oleh Zarina selepas Kosmo! Online memuat naik hantaran Ariz mengakui memukul Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, pada bahagian muka kerana mendakwa anaknya itu sudah melampaui batas termasuk dikatakan bersikap kurang ajar terhadapnya.
Ketika ini, kemelut antara Anna dan Ariz masih belum berkesudahan selepas ibunya itu mendedahkan menerima perintah injunksi daripada Anna Disember tahun lalu. – HIBGLAM