‘Ayden kena buli, diejek anak yatim di sekolah agama’

PENYANYI dan pelakon Bella Astillah sedih apabila anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean Mohd Aliff yang baru berusia lapan tahun menjadi mangsa buli di sekolah sehingga diejek sebagai anak yatim.

Menurut Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, dia terkejut apabila perkara tersebut dilakukan seorang murid perempuan di sekolah agama.

Ayden juga dibuli di sekolah secara emosi dan fizikal, tapi kita dah selesaikan isu tersebut dengan berjumpa keluarga, pihak sekolah dan pelaku sendiri.

“Paling sedih bila ada yang menjerit dan panggil dia di sekolah agama sebagai anak yatim,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pensijilan Halal Thong Bowl di IOI City Mall, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, dia berharap kejadian buli terhadap anaknya tidak berulang lagi selain berdoa Ayden kuat dalam berdepan gangguan sebegitu.

“Saya ada pergi sekolah juga minta tolong ustazah. Insya-Allah semoga ada perubahan yang baik.

Bukan sahaja jumpa keluarga, tapi pelaku itu sendiri saya jumpa terus cakap dengan dia, sebab yang membuli adalah budak perempuan.

“Jadi saya cakap dengan Ayden dia kena kuat sikit selepas ini,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai penglibatannya dengan Thong Bowl, Bella teruja apabila berpeluang terbabit dengan beberapa kempen restoran yang sudah mendapat sijil halal di cawangan IOI City Mall, Putrajaya.

Seperti kita tahu, sijil halal sangat penting terutama untuk mereka yang memang suka menikmati pelbagai jenis makanan.

“Jadi memang bangga bila restoran ini dapat sijil halal,” jelasnya.

Ayden merupakan hasil perkahwinan Bella dengan pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016 selain anak keduanya, Ara Adreanna.

Jodoh tidak panjang, Bella dan Aliff bercerai pada 13 Jun 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok