LANTANG bersuara berhubung isu semasa, pelakon Mimi Lana berharap pelajar sekolah tidak terjebak dengan sebarang gejala buli yang boleh memberi impak buruk terhadap masa depan sendiri.
Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30 berkata, generasi muda tidak seharusnya mensia-siakan zaman persekolahan mereka terlibat dengan jenayah.
“Mak ayah hantar sekolah suruh cari ilmu, bukan nak berlagak gengster.
“Kalau rasa ‘power’ sangat dan tak boleh kawal emosi, pergi ambil kelas seni mempertahankan diri, masuk gelanggang lawan orang yang setanding,” katanya dalam InstaStory.
Luahnya juga gejala buli yang akhirnya melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa pelajar tidak seharusnya berlaku.
“Bukan belasah budak sekolah macam tak ada akal.
“Dah masuk sekolah bijak, tolong jangan buat perangai bodoh!” luahnya.
Menerusi perkongsian sama, isteri kepada aktor, Syafiq Kyle itu mengulang siar kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai isu buli yang tidak sepatutnya ‘disembunyikan’ hanya untuk menjaga reputasi mana-mana pihak.
Mimi juga antara selebriti yang lantang meluahkan kemarahan, rasa sedih dan kecewa terhadap sistem perundangan berhubung isu buli Allahyarham Zara Qairina kerana gagal melindungi mangsa walaupun sudah berkali-kali memberi amaran dan menyebut nama pembuli yang menyeksanya.
Ketika ini, #JusticeForZara menjadi trending dalam platform sosial, sebagai simbol solidariti terhadap mangsa dan desakan kepada pihak berkuasa agar tidak memandang ringan isu buli yang semakin membarah dalam kalangan pelajar sekolah. – HIBGLAM