‘Saya tahu hukum’ – Isteri Fikry Ibrahim nafi cerai sekadar konten

ISTERI kepada pelakon dan pengacara Fikry Ibrahim, Siti Khalizah Alihan menafikan dakwaan kononnya isu fail cerai digunakan sebagai strategi untuk mempromosikan produk perniagaan yang bakal dilancarkan.

Menerusi sebuah siaran langsung TikTok, Khalizah mengakui tindakan memfailkan perceraian bukan sesuatu yang dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya disifatkan ujian kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

“Kita manusia, lagi-lagi yang tak sempurna macam saya kadang-kadang Allah uji.

“Tiada siapa nak benda buruk terjadi, perkara itu berlaku atas ujian Allah bagi kepada kami pasangan suami isteri.

“Saya tak pandai sangat agama tapi tahu hukum. Tidaklah semudah itu apa yang saya buat, siapa nak kahwin tapi tak bahagia,” katanya, semalam.

Perkara tersebut disuarakan selepas seorang netizen mendakwa Khalizah yang mahu melariskan produk perniagaan selepas kecoh dengan isu fail cerai sebelum ini.

Pada masa sama, Khalizah enggan menyalahkan mana-mana pihak dalam krisis rumah tangga dan memperbaiki setiap keretakan dalam perhubungan.

Tak mengapa awak nak tanya, mungkin orang nak tahu. Janganlah tanya begitu, sebak saya.

“Kita tengah berusaha ke arah kebaikan, tiada siapa nak benda itu berlaku terutama sekali kita ada anak perempuan.

“Mungkin ada silap daripada saya, tak boleh salahkan orang 100 peratus. Kadang apa yang terjadi ada juga silap kita,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai persepsi dan spekulasi netizen, Khalizah menjelaskan hanya dia dan suami mengetahui hakikat sebenar hubungan mereka, selain memilih untuk tidak membuka aib rumah tangga.

“Sekiranya Allah tentukan panjang jodoh maka panjanglah. Sekiranya Allah kata sampai situ dan itu takdir serta ujian, siapa kita nak menidakkan.

Saya tahu banyak orang komen negatif dekat saya. Hanya saya dan suami sahaja yang tahu sebab kami tak bercerita kepada umum,” tuturnya.

Pada Jun lalu, Khalizah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi sebutan pertama perceraian.

Peguam mewakili Siti Khalizah, Wan Muhammad Afiq turut memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Mei laki atas alasan tiada lagi persefahaman.

Meski memfailkan cerai, Wan Muhammad Afiq berkata, plaintif masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan suaminya bagi mencapai pendamaian antara mereka.

Tidak lama kemudian, Fikry menegaskan bahawa kehadiran isteri ke mahkamah hanya untuk menarik semula permohonan perceraian.

Sebelum ini, Fikry dan Khalizah selamat melangsungkan perkahwinan pada 12 Februari lalu di sebuah masjid di Jitra, Kedah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok