‘Yang sukar dicapai itu lebih manis, kita semakin hargai’

MENCIPTA kemasyhuran sejak awal belasan tahun, kini nama Anuar Zain sudah menjadi tanda dagang diperakui ramai yang dibuktikan dengan kredibiliti serta reaksi khalayak setiap kali muncul di pentas mahupun tempat awam.

Ibarat kumbang yang menjadi dambaan, pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu dalam kelas tersendiri, baik sebagai penghibur atau sayap baharunya, kini selaku penganjur acara.

Namun, penghibur yang mesra disapa Abang Nuar itu tetap membumi biarpun menjadi kegilaan penggemar tegar selain idola kebanyakan penyanyi seangkatan serta artis generasi baharu.

Menyifatkan semua yang diperoleh adalah kurniaan Tuhan, tidak sekali pun beliau mendabik dada, sebaliknya sedar masih perlu banyak ilmu perlu digali, khususnya dalam berbisnes.

“Tidak rugi merendah diri apatah lagi bakat dimiliki merupakan anugerah Allah. Tempias populariti yang dihadirkan untuk saya semuanya atas sokongan khalayak.

Siapa saya untuk bermegah. Ini juga berbalik kepada rezeki selain jangan cepat mengalah. Jika terjatuh, kita bangkit semula kerana itu juga memberi pengalaman dan menyuntik pelajaran.

“Lumrah dalam kehidupan atau kerjaya, tidak semuanya mudah diperoleh, tetapi sebenarnya yang sukar dicapai itu lebih manis, sekali gus membuatkan kita semakin hargai perkara itu,” ujarnya sarat makna mendalam.

TIDAK hanya sebagai penghibur yang selektif dalam berkarya, Anuar juga mengakui dirinya ‘perfectionist’ terutama dalam mengendalikan bisnes.

Bersemangat bercerita perihal konsert, tambah pelantun Lelaki Ini itu, jadualnya sudah sedia padat sejak beberapa bulan lalu.

Biar dihambat kesibukan bagi urusan persembahan mega membabitkan dirinya bersama kakak juga penyanyi tersohor, Ziana Zain serta anak buah mereka, Ernie Zakri dan Syamel, masih ada sejuring masa emasnya diluangkan untuk HibGlam.

Fokus konsert

Dedahnya, bersilih ganti menghadirkan diri ke pelbagai mesyuarat, perbincangan serta perincian lain membabitkan kolaborasi julung kali ‘anak-beranak’ menjadi titik fokus utama buat masa ini.

Tambah penggiat seni yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-55 pada 15 Februari lalu, lelah atau penat tidak terasa disebabkan keabadian cintanya terhadap pekerjaan seni ini.

“Jadual saya memang sarat menjelang hari konsert. Mungkin jika tengok tarikh nampak agak jauh iaitu pada 18 Oktober depan.

Namun, andai dihitung tak sampai dua bulan berlangsungnya Empat Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena, jadi saya selaku penganjur perlu turun padang memastikan semua persiapan disempurnakan mengikut jadual.

“Terlepas waktu makan itu biasa, cuma kita kena pastikan kesihatan berada pada tahap terbaik dengan cukup rehat serta tidur kerana saya juga akan beraksi pada malam itu nanti,” katanya.

ANUAR teruja bakal berkongsi pentas dengan kakaknya, Ziana dan anak saudara mereka, Ernie serta Syamel dalam Konsert Empat Live In Kuala Lumpur.

Sudah 70 peratus sempurna seperti yang dirancang, ini bukan kali pertama Anuar Zain Network mengendalikan acara besar, malah konsert solo Ziana Zain sebelum ini juga hasil usahanya.

Justeru, penerbitan kali ini diatur sebaik mungkin dari segi teknikal, susunan pentas, busana, stamina penyanyi hingga sekecil-kecil butiran keseluruhan produksi.

Setakat ini, jualan sangat memberangsangkan dan tiket masih boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my.

Kenangan manis

Mahu dikenang antara konsert terbaik negara, baginya kesempurnaan berada pada carta teratas dalam senarai impian.

“Projek ini sangat mengujakan, kami tidak pernah terfikir pada akhirnya takdir membawa saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami terlibat dalam industri sama dan bakal bersatu atas pentas yang sama.

Sejujurnya konsert ini sudah lama dirancang iaitu sejak dua tiga tahun lalu tetapi berikutan jadual kerja masing-masing, penganjur dan pengurusan hanya dapat mencari masa Oktober ini.

“Konsert empat Live In Kuala Lumpur 2025 ini bukan hanya tentang kami, bahkan mengenai ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan daripada semua generasi,” tambahnya.

Banyak kejutan

Besar hasrat Anuar, konsert kelak mampu meninggalkan impak dan dikenang seluruh khalayak.

“Tiada kerisauan atau kebimbangan memandangkan segala-galanya mengikut seperti yang kita inginkan.

Saya disokong pasukan yang bagus serta berpengalaman luas sama ada barisan penyanyi, pemuzik atau pun kru belakang tabir.

“Menerusi sokongan sebeginilah saya yakin malam itu nanti menyuntik 1,001 kenangan manis untuk dibawa pulang dan terpahat kukuh dalam memori penonton,” ujarnya.

BIAR solo tanpa pasangan, Anuar Zain tidak pernah berasakan hidup sunyi.

Berbicara mengenai misi Anuar Zain Network pula, katanya perancangan selepas ini belum dapat dihebahkan kepada umum bagi memberi fokus terhadap Empat Live In Kuala Lumpur.

Bukan mahu berahsia, sebaliknya ada kejutan yang ingin dikongsikan.

Siapa yang tak mahu produksi yang kita usahakan berkembang, tetapi saya mungkin seorang yang ‘perfectionist’ jadi semua pelan akan saya pastikan direalisasikan satu persatu.

“Biar tidak nampak banyak (konsert) tetapi nilai tambah kepada penonton yang sanggup mengeluarkan wang menjadi sebahagian daripada sejarah konsert kita lebih penting,” ucapnya.

Ditanya pula sama ada konsert unik itu ingin dimasukkan ke Malaysia Book of Records (MBR), pihaknya berbesar hati seandainya mereka memang layak menerima pengiktirafan tersebut.

Beralih kepada soalan peribadi, kata Anuar tiada langsung ruang untuk sunyi disebabkan masa banyak diisi bersama teman dan keluarga jika tiada urusan kerja.

Saya orangnya yang boleh lepak sendirian tetapi saya kerap berjumpa kawan-kawan dan habiskan masa dengan keluarga.

“Saya juga punya hobi ‘restore’ kereta. Kalau nak ‘healing’ saya akan memandu menikmati pemandangan sambil dengar radio. Itu cara saya,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok