PENYANYI Syasya Rizal menyifatkan pengalamannya melancong buat pertama kali ke luar negara sebagai seorang wanita berhijab memberikan makna cukup istimewa dalam hidupnya.
Segalanya dipermudahkan, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, mengakui dirinya kini sedang melalui fasa kehidupan yang lebih tenang dan penuh makna sejak membuat keputusan untuk bertudung sepenuhnya.
“Pertama kali melancong sebagai hijabi dan subhanAllah, perasaannya sungguh luar biasa.
“Daripada menggayakan tudung di depan cermin hotel, hinggalah membiarkan angin menyapa lembut hijab di bumi Yunnan, semuanya terasa begitu istimewa,” tulisnya.
Pun begitu, bekas anggota kumpulan Dolla itu mengakui pernah dihantui keraguan tentang imej baharunya yang mungkin memberi kesan terhadap keyakinan diri dan penampilannya di khalayak.
“Pernah terlintas di hati selepas berhijab dulu, bolehkah saya kelihatan comel? Bolehkah saya berasa yakin? Adakah rang akan pandang saya berbeza?
“Tetapi hari ini buat saya sedar, berpakaian sopan tidak akan buat kita malap sebaliknya menjadikan kita lebih bersinar.
“Masih boleh kelihatan manis dan bergaya serta paling penting masih boleh kekal jadi diri sendiri,” luahnya.
Ibu satu anak itu turut menzahirkan rasa syukur kerana penghijrahannya membawa ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, malah memberi definisi baharu terhadap makna kecantikan.
“Alhamdulillah untuk perjalanan ini. Untuk ketenangan ini, dan untuk definisi baharu tentang kecantikan, lembut, ringkas dan sepenuh hati,” tuturnya.
Perkongsian Syasya disambut positif oleh netizen yang rata-ratanya memuji keayuan penyanyi itu yang kekal bergaya dalam penampilan sopan.
“Cantiknya, makin berseri lepas berhijab. Saya boleh rasa ‘aura’ dia sangat berbeza sekarang,” kata seorang netizen.
“Terima kasih kerana jadi inspirasi buat gadis muda seangkatan. Semoga istiqamah selalu,” komen pengikutnya.
“Hijab bukan sekadar penutup kepala, tapi membawa ketenangan sebenar bila tondakan murni itu berlandaskan niat yang datang dari hati,” ujar seorang pengguna media sosial.
Tahun lalu, selepas mengundurkan diri daripada Dolla, Syasya mengejutkan peminat apabila tampil bertudung pada hari raya pertama dan kekal istiqamah memakainya sehingga ke hari ini. – HIBGLAM