Oh! 4U2C, konsert baru umum isu hak cipta goncang dunia

DUNIA hiburan tanah air tidak pernah kering dengan drama. Kalau bukan isu dadah, pasti tentang keganasan rumah tangga.

Kalau tidak kes tangkap khalwat, tentu muncul semula kisah lama bertopengkan ‘hak cipta’.

Rantaian naskhah yang saban tahun dipanaskan semula, kadangkala seolah-olah seluruh industri ini berpusing dalam mesin pengisar yang sama, hanya pelakunya sahaja silih berganti.

Minggu ini, tiba-tiba meletup pula kisah ‘lagu siapa, suara siapa’ yang membabitkan Datuk AC Mizal, Man Senoi, Ajai dan konsert We 4U2C Live in Concert.

Jika dahulu kumpulan 4U2C membawa irama penuh semangat, kini mereka menari di antara bait-bait tuntutan dan permohonan maaf yang membuatkan peminat ternganga ingin memahami jalan cerita.

Cuma bezanya, ‘plot twist’ kali ini lebih dramatik. Berbalas kenyataan, saling menyentap di dada media dan akhirnya, semua pihak terjerumus dalam konflik yang barangkali hanya akan reda selepas tirai konsert benar-benar berlabuh.

Sayangnya, belum pun persembahan bermula, ‘drama pentas luar’ lebih hebat menggoncang kepala peminat berbanding setlist acara konsert.

AC Mizal yakin perjalanan konsert 4U2C sah di sisi undang-undang.

Lebih tajam, AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini menyuarakan kekecewaan terhadap rakan baiknya sendiri, Ajai, yang sebelum ini memberikan kenyataan secara terbuka seolah-olah mempertikai keabsahan konsert berkenaan.

Ajai rakan baik saya dan saya agak kecewa dengan kenyataan dia bahawa 4U2C tak boleh buat konsert. Kenapa nak tutup periuk nasi orang? Apa masalah awak dengan kami?” tegasnya

Menurut lelaki 53 tahun itu, pandangan terbuka Ajai tanpa mengetahui sisi undang-undang muzik mencetuskan kekeliruan, sekali gus menjejaskan persepsi peminat terhadap mereka.

Ajai yang sudah terlampau lama dalam industri asyik komen. Dia sendiri pun tak tahu tentang perundangan muzik di Malaysia. Jadi, bagaimana awak boleh ulas muzik kami?” ujarnya

Enggan membiarkan isu panas itu terkulai begitu sahaja, penulis sempat berjumpa Ajai dan bertanyakan dengan lebih terperinci susulan permohonan maafnya tempoh hari.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Maas menjawab tenang seperti cuba memadam bara yang mula membakar reputasi rakan-rakan.

kenyataan awal itu hanya pendapat peribadi, bukan satu bentuk serangan

Katanya, dia tiada niat menutup periuk nasi sesiapa, apatah lagi menggagalkan usaha 4U2C mengadakan konsert selepas 30 tahun menyepi.

Jelasnya, kenyataan awal itu hanya pendapat peribadi, bukan satu bentuk serangan

Saya sudah mohon maaf dan saya sendiri pun tidak simpan rasa apa-apa. Saya nak konsert ini berjalan lancar. Kita industri kecil, kita perlu saling menyokong.

“Apa yang saya bagi tahu hanyalah fakta sahaja, tapi kalau fakta saya mengusik hati, saya mohon maaf. Saya tak simpan apa-apa,” luahnya.

Dalam masa sama, komposer veteran Man Senoi dan isterinya, Mama Rap, terus mempertahankan hak cipta lagu 4U2C yang dikatakan milik mutlak syarikat Zman Production.

Dia mendakwa tidak dihubungi sesiapa pun untuk mendapatkan keizinan penganjuran konsert.

Tidak cukup dengan itu, dia mendakwa 25 lagu dalam katalog 4U2C adalah milik mereka sepenuhnya dan memberi amaran tindakan undang-undang jika konsert diteruskan tanpa kebenaran hitam putih.

Mereka cuma artis. Semua kos kami yang tanggung. Lagu-lagu tu milik kami. Jangan main-main dengan hak cipta, kalau nak buat konsert, buat betul-betul. Jangan main api.

“Kami sudah rujuk kepada peguam dan sudah jelas bahawa syarikat kami adalah pemilik ‘sound audio’ dan pemegang hak 25 ‘sound recording’ lagu-lagu 4U2C adalah milik saya Man Senoi,” tegasnya.

MAN Senoi bersama isterinya, Mama Rap berkeras soal hak cipta sebagai syarat konsert 4U2C.

Menolak tuduhan itu mentah-mentah, AC muncul mempertahankan konsert keramat yang sudah dirancang rapi.

Menurut pelakon Gerak Khas itu, penganjur telah memperoleh permit sah daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) bawah Akta Hak Cipta Malaysia 1987.

Konsert tetap akan diteruskan. Kami dah dapat permit MACP. Tak perlu dapat kebenaran pencipta lagu sebab semua hak persembahan telah diserahkan kepada badan berwajib itu,” selarnya

Bermula dengan hasrat mengimbau kenangan manis era 1990-an tetapi kini, nostalgia itu terasa seperti manuskrip lama yang kembali terbakar, berasap, namun tidak cukup hangat untuk mencairkan ego masing-masing.

Satu perkara jelas juga, isu sebenar bukan sekadar lagu, tapi kuasa. Siapa lebih layak mengaku ‘pemilik’ legasi 4U2C?

Adakah hak cipta benar-benar tentang undang-undang atau sekadar senjata mempertahankan ego masa lalu.

Satu hal lagi, konsert yang dijangka mengungkit nostalgia kini menjadi gelanggang perebutan nama, hak dan maruah. Lebih parah, peminat mula keliru. Siapa benar, siapa salah? – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok