PEMBULI tidak selalunya menggunakan kata-kata kesat.”
Demikian luahan pelakon Elfira Loy dipercayai merujuk kepada kontroversi busana perkahwinan adiknya, Ezlisa Loy yang didakwa meniru busana perkahwinan pempengaruh, Ally Mukhriz.
Tambah Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, tindakan membuli secara diam juga mampu menyakiti seseorang sehingga memberi impak terhadap kehidupan segelintir mangsa.
“Kadangkala, itu adalah seni diam yang mematahkan semangat, meredupkan cahaya seseorang, membebankan hati, atau merampas kegembiraan mereka yang boleh menyakitkan sama seperti luka fizikal,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pada masa sama, pelakon drama popular Qalesya itu memaklumkan, individu yang dikecam akan dipersalahkan walaupun hanya tampil mempertahankan diri.

Tangkap layar luahan rasa Elfira dalam Instagram yang menarik perhatian ramai peminat.
Namun, apabila mereka yang terluka akhirnya bangkit mempertahankan diri, merekalah yang sering disalah faham,” ujarnya lagi.
Semalam, kecoh dalam media sosial mengenai Ezlisa yang menggayakan busana tradisional songket rona biru muda disulami manik berwarna merah jambu dikatakan meniru busana perkahwinan cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Situasi semakin hangat apabila pereka fesyen busana Ally iaitu Fizi Woo dilihat turut memberi reaksi terhadap hantaran dimuat naik oleh Ally seolah-olah memerli hasil rekaannya diciplak.
Bagaimanapun, Ezlisa berkongsi bahawa busana tersebut diinspirasi daripada pereka fesyen antarabangsa yang berasal dari Filipina, Michael Cinco.
Tidak mendiamkan diri, Elfira selaku kakak mempertahankan adik kesayangannya termasuk memuat naik sepotong ayat berbaur sindiran dalam Threads. – HIBGLAM