‘Mulut tak henti nak komen, itu kena lawan’ 

TARIKH 1 Jun lalu merupakan detik manis bagi maestro muzik, Datuk M. Nasir dan isterinya, Datin Marlia Musa yang berangkat menunaikan haji menyahut panggilan suci sekali gus melengkapkan rukun Islam kelima.

Paling meninggalkan kesan bukan cabaran cuaca, sebaliknya perasaan sayu yang menusuk sanubari.

PENGALAMAN mengerjakan ibadah haji baru-baru ini banyak mengajar M. Nasir makna kesabaran dan kecintaan sebenar terhadap Ilahi.

Setiap kali melangkah ke Tanah Suci, pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed Sam itu mengakui jiwanya diruntun emosi yang sukar diungkap dengan kata-kata, sehingga hanya mampu meluahkan isi hati melalui tangisan yang tenang, namun penuh makna.

“Hampir sebulan saya di sana, semuanya okey. Cuma perubahan cuaca ada bagi sedikit kesan (kesihatan) tapi tak teruk dan boleh dikawal.

Di sana berasa sangat sedih dan sayu, tidak tahu kenapa. Saya hanya mampu meluahkan perasaan dengan tangisan.

“Beberapa kali ke sana pun akan rasa situasi sama. Bila habis buat haji saya tertanya-tanya bila lagi dapat peluang datang kembali,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut, sepanjang berada di Tanah Suci dalam suasana padat dan penuh ujian yang memerlukan kekuatan dalaman berganda, terutama mengawal lidah dan emosi agar ibadah tidak terjejas.

“Bila sampai sana tak mudah seperti disangka. Dalam keadaan orang terlampau ramai, segala-galanya jadi lain.

Rasa nak cakap sesuatu, betulkan suasana mesti akan sentiasa bermain dalam kepala. Itu yang kena lawan, sangat susah.

“Mulut tak berhenti nak komen. Perkara-perkara lain saya mungkin tak dapat ceritakan kepada kalian,” jelasnya. ‘Sangat susah, mulut tak berhenti nak komen’

Konsert rock

Pulang daripada mengerjakan haji, seniman berusia 67 tahun itu tidak duduk diam. Di hadapannya menunggu acara besar, konsert Datuk M.N46IR Cipta 3 yang bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 27 September nanti.

M. NASIR seumpama arkitek yang membentuk konsep dan lagu rock bagi sesebuah kumpulan dan penyanyi di tanah air sehingga menjadi senarai hit Nusantara sehingga kini.

Kali ini, Icon Entertainment selaku penganjur memperkenalkan konsep Malam Ini Gua Rock yang mempersembahka rangkaian karya rock sentuhan M. Nasir.

Sekarang saya tengah kumpulkan semula jiwa rock dalam diri. Dah lama tinggalkan lagu-lagu genre itu tapi jiwa rock masih kuat.

“Saya pun bermula dalam industri menerusi penghasilan album rock,” katanya.

Masih dalam perbincangan mengenai seleksi lagu, M. Nasir kini mengawal pemakanan dan fokus penjagaan kesihatan demi kelestarian sebuah konsert penuh tenaga.

“Lagu-lagu yang dipilih akan digubah semula agar sesuai dengan konsep konsert.

“Dari segi persiapan, saya kena jaga apa yang perlu terutama bab makan, kena pantang dan tak boleh berlebihan,” ujarnya.

Selaku penganjur, Iman Tang pula menjanjikan kelainan pada malam tersebut walaupun sudah berkali-kali menganjurkan konsert M. Nasir.

“Icon Entertainment kembali dengan M. Nasir Cipta 3. Mungkin ada yang mengeluh konsert M. Nasir lagi atau sudah tiada eksklusiviti kerana penganjuran kali ketiga tapi percayalah, kali ini bakal memberi kejutan baharu buat peminat.”

Sama seperti penganjuran Cipta 1 dan Cipta 2, tentu saja peminat tidak akan rasa membazir untuk melabur duit lagi.

“Sebab karisma legenda M. Nasir sendiri. Kedua kerana konsep Malam Ini Gua Rock yang cukup dekat dengan M. Nasir, dia juga yang mencipta banyak lagu rock popular tanah air,” tuturnya.

Beli tiket dapat Harley Davidson

Tidak hanya itu, pembeli tiket konsert M. Nasir Cipta 3 bukan sekadar menyaksikan persembahan penuh semangat rock dan nostalgia, tetapi juga berpeluang membawa pulang motosikal mewah Harley Davidson Softail STD FXST bernilai RM114,000, lengkap dengan perlindungan insurans daripada Etiqa selama setahun.

Pemenang bertuah konsert M. Nasir Cipta 3 berpeluang membawa pulang hadiah berupa motosikal mewah Harley Davidson Softail STD FXST bernilai RM114,000,

Lebih menarik, motosikal berkuasa tinggi itu turut dihiasi tandatangan M. Nasir, menjadikannya hadiah yang sangat istimewa dan pasti menjadi simbol kenangan abadi buat peminat bertuah yang terpilih.

Hadiah luar biasa tersebut diumumkan secara rasmi dalam satu majlis pengumuman di Dataran Maybank, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Iman, kerjasama antara penganjur acara, Icon Entertainment, bersama Harley Davidson dan Etiqa selaku rakan strategik utama akan menyaksikan M. Nasir sendiri menyerahkan motosikal kepada pemenang bertuah.

Paling penting, hanya pembeli tiket dari mana-mana kategori yang layak untuk dipilih sebagai pemenang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja meraikan seni muzik tempatan, malah mencipta pengalaman berbeza buat masyarakat.

“Kami percaya muzik adalah jambatan yang menyatukan kita.

Bagi mereka yang terlepas peluang untuk mendapatkan tiket prajualan konsert semalam, kami juga menyediakan kempen-kempen menarik apabila pelanggan berpeluang untuk memenangi lagi tiket konsert,” jelasnya.

Tiket menonton konsert M. Nasir Cipta 3 mula dijual pada 4 Julai lalu di laman rasmi http://www.ticket2u.com.my/mnasircipta3 atau menerusi talian WhatsApp 012-6530 700.

Harga tiket ditawarkan pada kadar RM258 (Teguh), RM358 (Opera Hidup), RM458 (Isi dan Kulit), RM488 (Sejati), RM558 (Gadisku) dan RM628 (Pawana). – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok