SELEPAS berbulan-bulan menanti detik pengakhiran, Squid Game 3 akhirnya menutup tirai sekali gus menjawab segala persoalan penonton pada 27 Jun lalu.
Naskhah enam episod itu meraih pelbagai respons daripada peminat setia drama hasil kerja sutradara Hwang Dong-hyuk.
Ada yang berpendapat musim ketiga ini tidak mencapai ekspektasi yang diharapkan selain jalan ceritanya dikatakan terlalu cepat sehingga banyak bahagian ‘lompong’ dan menghampakan penonton.
Namun, ada juga yang menyukai dan berpuas hati dengan pengakhiran cerita kerana kemenangan diberikan kepada peserta yang selayaknya iaitu pemain 222.
Jika sebelum ini paling dibenci adalah watak Thanos lakonan T.O.P, namun Yim Siwan yang memegang karakter Lee Myung-gi pula mengambil takhta tersebut untuk musim terakhir Squid Game.
Naskhah tersebut kini menjuarai carta 10 drama paling popular dalam platform Netflix.
Squid Game 3 dibintangi barisan nama besar seperti Lee Jung-jae, Lee Byung-hun, Lee Seo-hwan, Wi Ha-joon dan Kang Ha-neul. – HIBGLAM