‘TERBANG’ RM1,000 gara-gara sebiji epal, pelakon Datin Seri Umie Aida tetap tenang mengakui kealpaan diri mengakibatkannya berdepan denda Bahagian Biosekuriti New Zealand ketika tiba di Lapangan Terbang Auckland, baru-baru ini.
Umie atau nama lengkapnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, berkata, walaupun perlu mengeluarkan belanja besar di luar jangkaan atas kekilafannya, dia menganggap pengalaman dilalui sebagai takdir.
“Ini namanya takdir. Saya memang tak bawa apa-apa makanan ke New Zealand kerana mahu memudahkan diri ketika berada di kaunter imigresen.
“Dijadikan cerita masa di lounge MAS Airline, saya ambik sebiji epal untuk makan dalam penerbangan sebelum tidur (disebabkankan) terlalu keletihan dan lupa bab epal.
“Apabila sampai New Zealand, mereka (petugas) scan beg. Ada epal jadi kita kena denda bayar NZD400 (RM1,024),” katanya dalam perkongsian video dalam Instagram.
Umie difahamkan ke negara itu pada 1 Julai lalu bagi menjalani penggambaran drama bersiri yang turut disertai ramai pelakon termasuk Nora Danish, Datuk Remy Ishak dan Fattah Amin.
Lucunya, aktres dan penerbit itu turut menghimpunkan respons rakan serombongan yang mengusiknya bahawa epal dari Malaysia bukan calang-calang kerana mencecah harga RM1,000 sebiji.
Ruangan komen dalam media sosialnya turut dibanjiri maklum balas teman selebriti serta peminat yang berkongsi pengalaman serupa apabila terbawa barangan larangan ke negara terbabit.
“Okey la tu, grup saya bulan lepas ada yang terbawa telur rebus. Sama punca iaitu terlupa. Kena denda NZD400,” tulis seorang netizen.
“Ini baru tragedi buah epal,” kata pengguna Instagram lain.
Begitupun, pengalaman ‘mahal’ dilaluinya turut menjadi peringatan kepada semua pengikut laman sosialnya untuk lebih berjaga-jaga jika ke tempat orang. – HIBGLAM