SUNGGUH, tiga dekad bergelar selebriti versatil tanpa kontroversi menjatuhkan reputasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk Haiza Hanafi.
Bukan sahaja sebagai penyanyi dan pengacara, Haiza turut menceburi dunia lakonan dan bergelar penyampai radio.
Manisnya, dia tidak dikenali dek gosip murahan sebaliknya membuktikan disiplin dan kerja keras mampu mengekalkan kerelevanan dalam industri selama 30 tahun.

DIBERIKAN jolokan penyanyi ‘one hit wonder’, Haiza tetap bersyukur kerana satu-satunya single hit, Dag Dig Dug itulah yang menjadi lagu cari makannya sehingga kini.
Bagi Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 45, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk bergelar artis yang kehidupan harus berbelit kisah panas sehingga boleh merosakkan imej dan maruah diri serta keluarga.
“Orang selalu cakap saya berjaya tepis segala kontroversi tetapi hakikatnya tidak pernah ada keinginan pun untuk terpalit cerita kurang enak.
Orang tak tahu, selama ini saya berusaha menjaga nama dan imej sebaik mungkin supaya tak terkait cerita mengarut.
“Walaupun ada pihak yang cadangkan untuk mencipta gimik, saya rasa tiada keperluan untuk melakukannya semata-mata nak mencuri perhatian ramai. Itu bukan cara saya,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-30 perjalanan karier seninya yang diadakan di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.
Bercerita momen awal bergelar penyanyi, dia mengakui tidak pernah terlintas untuk bergelar penyanyi dangdut sebaliknya identiti tersebut ‘dibentuk’ syarikat rakamannya sekitar 1995.

SEPERTI lagunya Dag Dig Dug yang tidak berkubur ditenggelami evolusi muzik, Haiza tidak hanya brrgelar penyanyi tetapi menjadikan radio sebagai periuk nasi, sekali gus terus hidup di mata khalayak.
Pada waktu tersebut, muzik dangdut sedang rancak dipanaskan nama-nama popular seperti Amelina, Mas Idayu dan Haiza ‘dilahirkan’ sebagai artis pelapis.
“Sebab ketika saya sertai uji bakat, umur baru 14 tahun dan mana mungkin terlintas nak jadi penyanyi dangdut.
“Saya pula banyak dipengaruhi lagu balada seperti Shima dan Ella. Namun, siapa sangka, lagu kedua yang saya nyanyi ketika itu, Rindu milik Amelina menjadi pembuka rezeki untuk bergelar penyanyi.
“Mereka pula memang nak cari penyanyi dangdut, jadi sayalah individu itu yang dibentuk mengikut trend ketika itu,” ujarnya.

HAIZA turut berduet sekali gus meraikan penyanyi Amelina yang bukan sahaja lebih senior bahkan ‘kak long’ dangdut di hatinya. – Foto Ihsan Indigital Music
Dalam masa sama, Haiza berasakan suaranya pada ketika awal kemunculan tidak sehebat penyanyi dangdut lain yang kaya dengan lenggok dan identiti masing-masing.
“Bila dipanggil rakam lagu, suara saya sebenarnya ‘lurus’ sahaja, tiada lenggok seperti penyanyi dangdut lain.
Kalau dengar semula suara saya dari album pertama sehingga kelima, sama sahaja, teruk rupa-rupanya,” kongsinya.
Menyentuh tentang skeptikal masyarakat terhadap muzik dangdut yang dipandang sinis kerana sering dikaitkan dengan imej mencolok mata, Haiza masih percaya, dia bukan dibentuk menjadi penyanyi sebegitu.
“Saya bukan bergoyang gerudi dan bergelek dengan seksi pun.
Cuma apabila semakin dewasa, saya suntikkan imej lebih matang. Goyang tetap goyang tetapi tidak keterlaluan.
“Penyanyi mana yang tak kena kecam tetapi saya ‘belasah’ sahaja,” kata penyampai radio Kool 101 itu.

SEBAHAGIAN peminat tegar yang mewakili Haiza Troopers turut diraikan dalam majlis Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun di Geo Resort & Hotel Genting Highlands, hujung minggu lalu.
Berkongsi lanjut, dia juga pernah dituduh tidak berdisiplin ketika masih bersekolah dan itu merupakan pengalaman yang paling melukakan sepanjang bergelar penyanyi.
“Dahulu pernah ada gosip di akhbar mendakwa saya artis tidak berdisiplin. Itu cerita yang paling menyedihkan sepanjang karier saya dan ini berlaku ketika saya masih di bangku sekolah.
Pada hari tersebut sepatutnya saya hadir mencalonkan single kedua berjudul Mana Tahan untuk program Muzik Muzik tetapi tiba-tiba ada kelas tambahan.
“Sayangnya, disebabkan jalan sesak teruk, saya terlepas peluang tersebut sedangkan ketika itu sudah berada di depan pintu studio terus menangis kerana kesal dengan apa yang terjadi. Jadi, dakwaan tidak berdisiplin muncul disebabkan kejadian tersebut,” tuturnya.
30 tahun
Menghangatklan sambutan 30 tahun dalam industri bertempat di Geo Resort & Hotel Genting Highlands tersebut, Haiza turut meraikan meraikan kelab peminat dan media yang tidak pernah lelah menyokong kerjaya seninya selama tiga dekad sehingga kini.
“Alhamdulillah majlis ini berjalan lancar dengan pengisian yang saya lihat mampu menjadi memori manis untuk semua.
Sebenarnya saya risau memikirkan konten yang perlu diisi. Jadi, saya memilih untuk berkongsi cerita tentang perjalanan seni sehinggalah hari ini. Susun atur majlis sangat cantik,” katanya lagi.

HAIZA menyantuni rakan media yang banyak membantu dan menyokong perjalanan 30 tahun karier seninya.
jelasnya, majlis yang sepatutnya hanya menyaksikan pelancaran single ikoniknya, Dag Dig Dug 3.0 tersebut turutbertukar suasana menjadi seolah-olah showcase.
“Saya selalu fikir, siapa saya untuk diraikan dalam sebuah majlis begini.
Namun pada hari kemuncak, sambutan luar biasa. Setiap meja penuh, saya sangka akan ada meja lompong, alhamdulillah,” ujarnya lagi.
Haiza turut berbesar hati merakam dan melancarkan semula single Dag Dig Dug 3.0 sebagai simbolik tiga dekad namanya masih utuh dalam industri.
Diberi nafas baharu, dia juga sanggup ‘terbang’ ke Bandung, Indonesia untuk merakam semula karya ciptaan Dedi Abdul Kadir Nughra itu pada Disember tahun lalu.
Dia juga menggunakan khidmat Diki Suwarjiki selaku penerbit dan penyusun muzik sekali gus mewarnakan lagi lagu tersebut elemen ‘koplo’ dan muzik moden. – HIBGLAM