Pecah perut, ‘punchline’ Martabat: Misi Berdarah sampai

TOLAK tepi filem aksi atau animasi buat seketika, mungkin rakyat Malaysia harus berlari ke pawagam untuk menonton buah tangan sulung Zahiril Adzim sebagai sutradara iaitu Martabat: Misi Berdarah.

Mungkin kedengaran berlebih-lebihan tetapi penulis berani mengatakan ini filem komedi terbaik untuk tahun 2025 setakat ini.

Keberanian Zahiril menghasilkan naskhah bergenre komedi bersama Adrian Teh wajar dipuji, bukan mudah hendak membuat orang gelak.

Pada asalnya, ramai skeptikal dengan filem tersebut disebabkan lambakan naskhah genre sama yang mengecewakan.

SEKUMPULAN pelakon ekstra datang ke sebuah pulau demi mengejar impian bergelar bintang filem.

Namun, gambaran negatif itu terus pudar meski baru menonton 10 minit terawal naskhah tersebut.

Sekumpulan pelakon ekstra menaiki bot ke sebuah pulau untuk mengejar impian menjadi bintang filem. Mudah difahami, cara Zahiril mengolah alur cerita luar biasa, santai tapi ada mesejnya.

Perbezaan kasta pelakon sehingga wujud layanan berlainan di set penggambaran. Itu antara mesej sinikal yang diselitkan Zahiril dan Adrian. Penulis fikir, agak berani juga membangkitkan isu sebegitu dalam sebuah karya.

Hakikatnya kru produksi termasuk para pelakon saling bergelut memberi hasil terbaik untuk sesebuah karya tetapi ‘struggle’ itu hanya orang dalam industri sahaja tahu.

Perkara itu memang wujud, namun tidak pasti sama ada Zahiril berniat untuk mengubah ‘sistem’ tersebut di set penggambaran atau hanya sekadar memaparkan situasi.

AMERUL AFFENDI yang berlagak persis kapten Jack Sparrow berjaya memberi warna naratif filem ini.

Komedi

Menghasilkan naskhah genre komedi tidak mudah, namun penulis merasakan setiap humor berjaya diletakkan pada setiap babak dengan cemerlang.

Pada asalnya Zahiril mengakui bimbang semua lawak jenaka tersebut hanya difahami mereka yang bekerja dalam industri seni.

Mana tidaknya, macam-macam isu jadi bahan jenaka dan sinikal, tidak kira artis mahupun pempengaruh, semua dibalun Zahiril dan Adrian dalam filem itu termasuk ‘product placement’ serta ‘air tebu’ misteri.

Kemungkinan tersebut mungkin berlaku tetapi bagi penulis, masih boleh difahami kerana jenaka yang diketengahkan bersifat rawak dan tidak terlalu spesifik.

MEMBARISKAN ramai bintang terkenal tanah air, setiap watak berjaya diterjemahkan dengan baik dan menonjolkan sisi ‘gila’ masing-masing.

Pelakon, kameo

Satu hal yang menarik perhatian penulis ialah himpunan para pelakon yang diambil dari empat filem iaitu Ada Hantu, Ada Hantu 2, The Assistant dan Malbat: Misi Bakara.

Menggabungkan ramai pelakon, setiap watak berjaya diterjemahkan dengan cemerlang, tiada yang overshadow sesama sendiri.

Strategi membariskan Fad Bocey, Nafiez Zaidi, Shiqin Kamal, Elvina Chua sebagai teraju utama bukan satu pilihan yang mengecewakan, masing-masing berjaya melunaskan peranan sendiri dengan baik.

Amerul Affendi yang memegang watak Bro Safwan berlagak persis kapten Jack Sparrow memang bikin gila, pecah!
Jalan cerita ini juga dikukuhkan lagi dengan kemunculan ramai kameo yang terdiri daripada kawan baik Zahiril sendiri.

Bukan calang-calang orangnya, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Soffi Jikan antara yang memeriahkan filem ini. Kemunculan mereka mungkin hanya beberapa minit tetapi tetap membuatkan tawa penonton berderai.

MICHAEL ANG yang memegang watak sebagai pengarah bikin penonton gelak besar.

Kemunculan Michael Ang, Anas Ridzuan, Tony Eusoff, Emma Maembong, Nelissa Nizam dan Iedil Dzuhrie juga turut menambah kekecohan dalam plot cerita.

Paling mengeletek hati, watak Nam Ron yang peranannya memang tidak masuk akal tetapi bikin berdekah.

Bukan itu sahaja, penulis juga masih tidak boleh move on dengan babak Dafi sebagai ‘orang penting’ tetapi jenaka itu mungkin akan kurang difahami oleh orang lain yang tidak mengetahui sejarah kehidupannya.

Bagi penulis, mungkin tidak semua dapat memahami lawak dan cerita belakang tabir tetapi Zahiril dan Adrian berjaya menggarap serta meringankan setiap isu dengan baik.

Tidaklah sempurna atau ‘bombastik’ tetapi cukup menghiburkan. Martabat: Misi Berdarah antara naskhah lokal wajib tonton tahun ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok