Dulu Ye, nama Kanye West kini Ye Ye

SELEPAS menukar nama mengikut undang-undang menjadi Ye pada 2021, rapper kontroversi Kanye West memilih Ye Ye sebagai panggilan baharunya.

Perkara tersebut terbongkar selepas sebuah portal hiburan memperoleh dokumen perniagaan membabitkan kontrak yang menunjukkan kolum pengurus iaitu Kanye West sebagai Ye Ye.

Nama itu kini digunakan untuk pelbagai urusan rasmi membabitkan entiti bisnes miliknya termasuk Yeezy Apparel, Yeezy Record Label, LLC, dan Getting Out Our Dreams Inc.

Sebelum ini, nama West tercatat sebagai Ye West, namun hingga kini, bekas suami Kim Kardashian itu belum membuat pengumuman rasmi mengenai perubahan dilakukan.

Cuma sekitar awal bulan ini, West menerusi platform X pernah memaklumkan akan berhenti menggunakan akaun
@kanyewest.

Terdahulu, hasrat menggunakan nama Ye diluahkan pada 2018 sempena penerbitan album bertajuk Ye yang dirakam selama berbulan-bulan di Jackson Hole, Wyoming.

Hanya tiga tahun kemudian, penerima Anugerah Grammy itu membuat permohonan mengikut perundangan bagi mengganti namanya atas alasan peribadi.

Pada Mac 2024, ketua petugas Yeezy, Milo Yiannopoulos, mengeluarkan surat rasmi memaklumkan West tidak lagi disebut dengan nama asalnya yang disifatkan ‘nama budak’. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok