‘Tiada lagi kesakitan’- Penyanyi Sheqal meninggal dunia

SELEPAS ditidurkan sejak 6 Jun lalu, penyanyi Sheqal disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pukul 12.30 hari ini.

Menurut balunya, Normah Mohd Yusoff, 58, jenazah Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin, 60, masih berada di hospital dan akan dikebumikan di kampung halaman Allahyarham di Raub, Pahang.

“Allahyarham meninggal dunia ketika dia ditidurkan.

Tiada lagi kesakitan dan semuanya berlaku dalam keadaan sangat tenang,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Sementara itu, Yayasan Kebajikan Artis Tana Air (YKAT) menerusi satu kenyataan media berkata, Syeqal menghembuskan terakhir disisi isteri, anak dan disaksikan Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave yang baru tiba di wad.

Menerusi perkahwinan dengan bekas isteri, Raja Ema, Sheqal dikurniakan dua anak lelaki iaitu Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah.

Manakala perkahwinan dengan Norma dikurniakan sepasang anak iaitu Muhammad Fatullah bin Shaharim, 21, dan Ummu Hani binti Shaharim, 20.

Penyanyi yang popular dengan muzik Nusantara dan pop tradisional kelahiran Pahang itu mengecap populariti menerusi lagu Zapin Rindu-rinduan, Cinta Nusantara dan Ratib Orang Lautan.

Kerjaya seni Allahyarham banyak dipacu penerbit terkenal Manan Ngah dan hingga kini sering dijadikan rujukan untuk genre muzik tersebut sebaris dengan rakan-rakan seangkatan seperti Kopratasa, M. Nasir, To’ki, ND Lala, Noraniza Idris dan Zainal Abidin.

Pada hujung kehidupan, beliau bergiat aktif sebagai usahawan dan pakar motivasi dan tidak bercadang untuk kembali ke industri muzik selepas album terakhirnya pada 1998.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok