PANGGUNG Anniversary di Taman Botani Perdana bakal dihidupkan semula selepas sekian lama sepi daripada sebarang persembahan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan menerusi satu kertas kerja.
“Sekarang ini saya ingin membangunkan Panggung Anniversary. Nak hidupkan semula. Saya ingat dulu waktu zaman belajar, orang panggil Lake Garden tengok orang menari dan buat persembahan.
“Pengaktifan semula Panggung Anniversary termasuk inisiatif merakyatkan lokasi ikonik itu secara terbuka buat semua orang.
“Perkara ini diusahakan pihak saya dan Kementerian Kewangan. Kami sedang menyediakan kertas kerja dan akan dibentangkan nanti. Tahun ini juga saya nak buat beberapa program di sana (panggung),” katanya kepada HibGlam semalam.
Jelasnya lagi, sudah tiba masa Panggung Anniversary bersinar kembali apatah lagi lokasi itu banyak berjasa dalam menyemarakkan seni dan budaya tanah air.
“Persembahan orkestra akan dilazimkan di sana dan beri platform untuk pihak-pihak lain juga menggunakan pentas menonjolkan seni masing-masing sama seperti zaman dahulu.
“Boleh gunakan Panggung Anniversary untuk mengadakan persembahan. Apa-apa yang berbentuk kebudayaan, warisan dan seni boleh termasuk batik, fesyen dan muzik.
“Macam saya cakap tadi, saya tengah sediakan konsep (kertas kerja) yang diberikan lampu hijau daripada MoF (kementerian kewangan),” ujarnya lagi.
Satu masa dahulu Panggung Anniversary gah dengan pelbagai aktiviti seni budaya.
Diawal kewujudannya panggung itu menjadi gelanggang pelbagai kegiatan seni termasuk sekitar 80-an di situlah berhimpunnya pemuzik dan peminat seni suara di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dalam satu majlis yang disempurnakan Maimunah bertempat di Mayor Courtyard, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, semalam.
Kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkukuh sektor seni dan budaya serta mempelbagaikan pengalaman melancong di ibu negara.
Langkah itu juga selaras dengan inisiatif Warisan Kuala Lumpur yang bertujuan menghidupkan semula pusat bandar sebagai hab kreatif yang aktif, meriah dan penuh daya tarikan.
Melalui MoU berkenaan, pelbagai program utama akan dilaksanakan termasuk Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat serantau.
Inisiatif lain yang turut dirancang adalah penerbitan kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL dan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
kerjasama ini juga akan diteruskan sehingga 2026 dengan pelaksanaan FOKL dalam skala yang lebih besar dan impak yang lebih meluas kepada masyarakat. – HIBGLAM