KEMBALI ke Kuala Lumpur selepas enam tahun, kumpulan Boyz II Men menghangatkan Megastar Arena, malam tadi dengan seleksi malar segar yang meletakkan mereka sebagai penyanyi R&B ikonik antarabangsa sejak tiga dekad lalu.
Lebih istimewa trio vokal harmoni dibarisi Nathan Morris, Wanyá Morris, dan Shawn Stockman itu mendedikasikan segmen khas buat penghibur legenda termasuk mendiang Michael Jackson, Prince dan The Beatles.
“Kami bukan penyanyi yang bagus namun sebab kami terus berada di pentas selepas lebih 30 tahun adalah kerana deretan nama besar ini.
Michael Jackson, Prince, The Beatles dan tidak ketinggalan Whitney Houston yang menyuntik semangat dan meninggalkan legasi tersendiri di arena muzik,” kata Morris.

TIGA dekad mencipta nama sebagai ikon R&B antarabangsa, Boyz II Men kekal popular dan tidak pernah menghampakan pemuja mereka dengan persembahan hebat.
Selain Purple Rain dan Come Together, penerima empat Anugerah Grammy itu turut membawakan lagu daripada Bruno Mars, Locked Out Of Heaven sebagai pelengkap.
Seleksi wajib yang menjadi siulan sekali gus menggandakan lagi aura romantis termasuk Water Runs Dry, On Bended Knee, 4 Season of Loneliness, Yesterday, One Sweet Day dan It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday dialunkan.
Sebelum menutup tirai tirai persembahan mega yang berlangsung sekitar satu setengah jam, I’ll Make Love To You, End of The Road dan Motownphilly diperdengarkan.
Bagai tidak puas, 3,500 penonton yang memenuhi gelanggang di tengah ibu negara itu bagi mengikuti konsert Boyz II Men Live In KL seperti enggan berganjak dari tempat masing-masing.
Nyata aura Boyz II Men tetap kental di jiwa penggemar tegar mereka yang sanggup ‘melaburkan’ wang untuk tiket berharga RM355 sehingga RM955 demi menikmati deretan dendangan berhantu.
Sebelum berlalu, mereka turut menzahirkan terima kasih kepada peminat Malaysia yang disifatkan penuh tenaga luar biasa.
Kali terakhir berkunjung ke negara ini adalah menerusi konsert di Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2019 yang juga dibawakan Shiraz Projects selaku penganjur . – HIBGLAM