‘Sebulan tak jumpa kekasih memang tak boleh’

DUA tahun menjalin hubungan jarak jauh (PJJ), pelakon Maya Karin mengakui sepakat dengan kekasihnya untuk berjumpa sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 46, berkata bukan meragui kesetiaan, sebaliknya kaedah sedemikian antara cara untuk mengukuhkan cinta biarpun dipisahkan lautan.

“Mungkin segelintir pasangan tak kisah menjalinkan hubungan jarak jauh macam sepupu saya yang berjauhan dengan suami sejak enam tahun lalu. Tetapi saya sebulan tak jumpa kekasih memang tak boleh.

Jadi saya dan teman lelaki cuba berjumpa sebulan sekali, cuma bergantung kepada jadual kerja kami. Memandangkan masing-masing bekerja sendiri, kami cuba susun waktu.

“Jujurnya, agak sukar namun kami tengok kepada keadaan. Sama ada kekasih datang ke Kuala Lumpur atau saya pergi menemuinya di luar negara, bergantung kepada jadual kami,” katanya kepada HibGlam.

Pada masa sama, pelakon filem Telaga Suriram itu mengakui kepercayaan sebagai teras mengukuhkan perhubungan dengan kekasihnya yang berasal dari Perancis itu.

Pernah melalui kegagalan rumah tangga 15 tahun lalu, Maya menegaskan tidak menaruh sebarang prasangka mahupun mengongkong lelaki terbabit.

Begitupun, untuk melangkah semula ke alam perkahwinan belum pernah dibincangkan selain hanya meletakkan soal jodoh kepada ketentuan Allah.

Kami jenis yang tidak meletakkan syarat atau sentiasa hubungi antara satu sama lain dengan kerap. Kiranya masing-masing sudah matang.

“Cuma soal jodoh, tiada gesaan dari dia atau saya sendiri. Jika masanya akan tiba, kita terima dengan hati terbuka tetapi buat masa ini kita lalui setiap fasa dengan tenang,” ujarnya.

Sebelum ini perkahwinan Maya dengan bekas suaminya, Muhammad Ali Abdullah hanya bertahan selama dua tahun apabila mereka bercerai pada 16 Julai 2010. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok