SETAHUN bertunang, akhirnya pelakon Qi Razali selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya, Wardah Mahbob, pagi tadi.
Berita gembira itu dikongsikan pengacara Fedtri Yahya yang dipertanggungjawabkan mengendalikan majlis pernikahan pasangan terbabit.
“Mengacarakan majlis pernikahan Babah,” tulisnya pada hantaran gambar dengan pengantin.
Difahamkan, wanita bertuah yang menakhluk hati bintang filem Babah itu bekerja dalam bidang produksi sebagai jurusolek.
Menerusi perkongsian gambar, pasangan sama cantik sama padan itu memilih pernikahan dalam taman yang berlatarkan alam semula jadi.
Majlis meriah itu diadakan di lokasi eksklusif Bagas Zakariah di Gopeng, Perak dengan dihadiri sekitar 150 jemputan.
Hari bersejarah Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali Wong, 48, bersama Wardah, 30, menyaksikan mempelai menggayakan persalinan sedondon rona putih.
Difahamkan aktor itu menyerahkan mas kahwin berjumlah RM101.00 kepada pasangannya, namun jumlah hantaran dirahsiakan.
Majlis tersebut turut mendapat sentuhan dekorasi The Calla dengan berkonsepkan alam bunian.
Lebih menarik, Wardah yang merupakan jurusolek memilih untuk menatarias dirinya sendiri pada hari istimewa mereka.
Terdahulu, sekitar Februari lalu Qi membuat pengakuan sudah bertunang pada Syawal 2024 dengan calon isteri yang enggan didedahkan namanya. – HIBGLAM