SEPERTI sudah hilang dari radar seni, hakikatnya lelaki tinggi lampai itu tidak pernah mematikan langkahnya sebagai pelakon. Sebaliknya, Idris Khan cuma memilih untuk berdiam dalam kesibukan, tenang dalam dunia sendiri.
Berpeluang bertemu empat mata dengan jejaka bertubuh kekar itu, penulis sempat bertanyakan perkembangan terkininya dan atas alasan apa kelibatnya menjauh.
Dari layar televisyen ke bidang perniagaan, rupa-rupanya pemilik nama sebenar Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan itu sedang mengatur langkah baharu dalam hidup.
Masih berdiri sebagai anak seni, namun Idris sudah tidak seghairah dahulu mengejar naskhah demi naskhah sehingga ada yang mendakwa dirinya sudah berhenti berlakon.
Saya tak pernah kata berhenti berlakon. Cuma bila sudah terlibat dengan perniagaan, fokus saya berubah. Saya perlu seimbangkan kedua-duanya.
“Kadang-kadang penggambaran memerlukan masa lama dan bisnes pula tiada siapa uruskan. Jadi, saya perlu bahagikan masa.
“Kalau datang skrip yang menarik, saya pertimbangkan. Tapi jujurnya, ada juga skrip bagus, cuma waktu penggambaran bertembung dengan urusan bisnes. Jadi saya terpaksa tolak,” katanya kepada HibGlam.
Bermula sebagai finalis Hero Remaja 2007/2008, Idris mengukir nama dalam industri menerusi drama popular Duda Terlajak Laris sekitar 2016.
Sejak itu, wajahnya tidak asing, sehinggalah detik dirinya mengambil ‘rehat panjang’ daripada dunia seni.
Mengakui semakin selektif, pelakon kelahiran Libya, Afrika Utara itu tidak mahu lagi terperangkap dalam naskhah klise yang menghidangkan cerita sama berulang-ulang.
Kalau skrip hanya kisah kahwin paksa, cerai, cinta, saya rasa cukup-cukuplah.
“Kalau kembali dengan watak sama, apa beza dengan yang dahulu? Di manakah nilai tambahnya,” ujarnya.
Jujurnya, bukan skrip sahaja yang jadi keutamaan, waktu juga menjadi musuh yang perlu diuruskan.
Bisnes tidak boleh ditinggalkan lama-lama. Kalau sibuk di set penggambaran berminggu-minggu, siapa nak jaga operasi? Sebab itu saya berhati-hati pilih naskhah.
“Ramai juga peminat mesej tanya, rindu nak tengok saya dalam televisyen. Saya hargai dan janji satu hari nanti akan kembali,” tuturnya menutup bicara.
Kini, Idris sedang giat membangunkan empayar niaganya yang tidak pernah dipamer berlebih-lebihan kepada umum. Bagi aktor itu, biar kerja senyap tapi hasilnya lantang.
Tiba masanya nanti, dia pasti akan kembali, bukan sekadar pelakon, tapi figura matang dengan misi seni yang lebih utuh. – HIBGLAM