KESIBUKAN di lokasi penggambaran ada kalanya membuatkan aktres Jessica Biel terpaksa ke luar daerah sekali gus terpaksa meninggalkan keluarga seketika.
Namun pelakon filem Blade: Trinity itu mengakui bertuah mempunyai suami, Justin Timberlake yang memahami kerjaya seni memandangkan dirinya seorang penyanyi.
Katanya, sejak berkahwin pada 2012 sehingga dikurniakan dua cahaya mata iaitu Silas, 10, dan Phineas, 4, mereka menggunakan kaedah wajib mengambil cuti sehari bagi memperuntukan masa dengan famili.
Persetujuan yang dilakukan secara bersama itu menjadikan kehidupan mereka lebih harmoni apabila dapat menghabiskan masa berkualiti sambil berkongsi cerita bersama keluarga.
“Penjagaan masa sangat penting kerana kami sama-sama sibuk. Justin sendiri mempunyai jadual kerja yang padat termasuk menenuhi undangan pentas.
“Kebiasaannya salah seorang antara kami akan berada di rumah menjaga anak-anak.
“Tetapi keharmonian rumah tangga kami jadi semakin mantap disebabkan satu hari penuh kami sama-sama ambil cuti melakukan aktiviti sekeluarga,” katanya.
Walaupun tampak agak mustahil untuk merealisasikan rutin tersebut terutama apabila salah seorang bekerja di luar kawasan, mereka tetap mencuri peluang mengatur pertemuan di mana-mana lokasi. – HIBGLAM