SEBUT sahaja nama penyanyi legenda, Salamiah Hassan, pasti ramai yang terngiang-ngiang suara gemersiknya mengalunkan lagu Gelombang ataupun Menghitung Hari yang sungguh menusuk kalbu.
Pada usia 74 tahun, Salamiah masih kelihatan anggun, sihat dan kuat tidak seperti kebanyakan wanita seusia dengannya.
Vokalnya juga masih berbisa tatkala mengalunkan rangkaian lagu malar segarnya. Terdetik di hati penulis, apakah rahsia atau petua yang diamalkan wanita yang selesa membahasakan diri mama itu untuk kekal hebat sebegitu rupa
Mama (panggilan manja Salamiah) tak ada apa-apa rahsia atau petua. Sungguh,” katanya beriya-iya saat diajukan soalan tentang petua kekal hebat.
“Tak akan tak ada pantang larang dalam pemakanan,” soal penulis lagi.
Memang tiada. Mama makan apa sahaja. Tetapi mestilah berpada-pada. Tak boleh berlebihan. Mama memang seorang yang suka masak dan duduk rumah. Mama lebih rela makan di rumah ajak anak-anak atau kawan-kawan datang,” katanya.

KEKAL cantik pada usia emas, Salamiah menjaga pemakanan dan rajin beriadah.
Saya masih tidak berpuas hati dengan jawapannya, kerana kagum melihat wanita berusia 74 tahun ini tidak seperti seorang yang berusia 70-an lain.
Rupa-rupanya Salamiah seorang yang rajin beriadah. Patutlah staminanya masih kuat.
“Kebelakangan ini mama suka berenang.
Dahulu mama suka ke gimnasium atau joging. Tetapi sekarang joging boleh buat lutut mama sakit. Jadi perlu pilih senaman yang tak akan buat mama sakit, berenang adalah senaman terbaik,” ujarnya.
Dikejar perompak
Biarpun bertubuh genit, jangan disangka wanita ini insan yang lemah. Pelbagai cabaran dan dugaan ditempuhinya selama lebih lima dekad bergelar anak seni.
Kongsi Salamiah, dia pernah berdepan detik cemas dikejar perompak sewaktu habis persembahan.
“Mama baru pulang daripada buat persembahan. Tiba-tiba mama perasan kereta diekori sewaktu mama pandu di Terowong SMART.
Mama pecut menuju ke pondok polis. Tetapi pondok polis pula gelap. Kemudian mama terus memandu sehinggalah terjumpa dua anggota polis.
“Dua kali mama berhadapan situasi dikejar perompak. Dua kali mama dikejar perompak, pecut masuk pondok polis
Kali kedua ketika mama memandu sambil ditemani anak lelaki. Ada dua buah motosikal ekori kereta mama, kiri dan kanan. Tetapi mama tak bagi muka, mama himpit motor mereka, tak peduli kalau kereta rosak,” kongsinya.
Memilih kerjaya sebagai penyanyi di kelab dan hotel, adakala mencetuskan pandangan serong masyarakat terhadapnya. Ada juga yang cuba melakukan perbuatan tidak elok. Tetapi bagi wanita itu, jangan sesekali cuba untuk bersikap biadab terhadapnya.
Mama wanita yang tegas. Dahulu, ada penonton bersikap biadab cuba menepuk punggung mama. Mama tangkap tangan dia, marah dan beri amaran supaya menghormati mama.
“Ada juga peminat yang nak bergambar tetapi nak pegang-pegang pinggang. Mama tepis tanpa peduli siapa dia, jangan sesekali cuba langgar batas. Jika biadab dan kurang sopan, mama akan lawan.
Mama cuma mencari rezeki halal untuk membesarkan dan hantar anak-anak belajar sehingga ke menara gading.
“Alhamdulillah mama berjaya memberikan pelajaran yang secukupnya kepada mereka hasil keringat seorang ibu tunggal selama 36 tahun,” jelasnya.

SIKAP keibuan dan penyayang menyerlahkan sisi elegan Salamiah ketika ditemu bual wartawan HibGlam, Helmi Anuat.
Atas alasan itu jugalah Salamiah sentiasa menghormati wanita terutamanya golongan isteri yang datang menonton persembahannya bersama suami masing-masing.
Kalau kita menyanyi di majlis korporat, kita senyum kepada isteri bukan para suami. Itu apa yang mama ajar kepada Atilia. Wanita lindungi wanita.
“Jika ada suami orang ajak minum kopi, saya akan beritahu, it would be nice if you bring your wife together. Jangan cari musibah,” katanya.
Mahu jumpa di syurga
Lama sendirian, perkahwinan Salamiah bersama lelaki asal Australia, Gerry Hughes pada 2022 pernah mengejutkan ramai.
Mana tidaknya, pada usia 71 tahun Salamiah kembali menemui jodoh selepas lebih tiga dekad bergelar ibu tunggal.
Dua puluh tahun berkenalan, Salamiah sebenarnya merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan semua, termasuk anak-anak.
Bila beritahu anak lelaki (Shah), dia tak percaya mama nak kahwin dan sudah 20 tahun kenal Gerry kerana mama tidak pernah bercerita.
“Mama terpaksa tunjukkan foto kami bersama. Tetapi Atilia yang paling teruja, bila tahu mama nak kahwin.
Mama berkenalan dengan Gerry sewaktu di lapangan terbang di Melbourne. Dia minta nombor telefon dan tak sangka 20 tahun dia sanggup tunggu. Dia pernah lamar mama tetapi tak diterima kerana fikirkan anak-anak.
“Bila diberitahu dia hidap kanser, mama terus setuju kahwini dia,” kongsinya.
Biarpun hanya sempat hidup bersama selama dua bulan sebelum Gerry pergi buat selama-lamanya, di hati Gerry adalah cinta terakhirnya. Tidak akan ada lelaki lain dan dia berharap dapat bersatu semula di syurga kelak.
Kalau boleh saya mahu bertemu arwah suami di syurga nanti. Arwah merupakan insan yang sangat baik. Dia khatam al-Quran dua kali. Dia tahu lebih daripada mama. Al-Quran adalah hadiah pertama yang mama beri kepadanya 20 tahun lalu.
“Allah beri apa yang mama inginkan tetapi hanya dua bulan sahaja. Mama menikah dengannya kerana cinta, bukan kerana fizikal. Mama gembira dapat menemaninya ke hospital setiap hari untuk jalani rawatan kemoterapi.
Mama gembira dapat masak untuknya setiap hari. Dia suka makan masak lemak.
“Kami selalu menonton Mr. Bean bersama kerana dia suka menonton cerita Mr.Bean. Tetapi kini mama tak boleh nak tonton Mr. Bean lagi kerana mama akan teringatkan arwah. Hanya pesanan mesej suara arwah sahaja yang mama masih simpan sebagai pengubat rindu. Biasanya mama dengar selepas solat,” ujarnya.

SALAMIAH dan anak perempuannya, Atilia Haron juga seorang penyanyi akan muncul dengan sebuah konsert berjudul Gelombang Bahagiaku, Ogos depan.
Kehadiran arwah bukan sahaja menjadi pelengkap kisah cinta Salamiah tetapi asbab wanita itu akhirnya membuat keputusan berhijab sepenuhnya.
Arwah minta mama pakai tudung. Dahulu mama selalu warnakan rambut. Bila rambut putih tumbuh, mama warnakan.
“Arwah selalu tanya kenapa warnakan rambut, boleh kena kanser katanya. Mama pula berseloroh siapa yang kena kanser sekarang, awak atau saya.
Arwah minta mama pakai hijab kerana katanya, you kill two birds with one stone. Pertama dapat elakkan kanser dan kedua kerana ikut perintah Allah. Bila dia meninggal barulah mama pakai hijab,” dedahnya.
Eksklusif
Tutup kisah cinta, ramai sebenarnya yang beranggapan bahawa Salamiah penyanyi yang eksklusif dan hanya menyanyi untuk majlis korporat dan berprotokol.
Tak kenal maka tak cinta, Salamiah menafikan dakwaan tersebut.
Tak adanya saya penyanyi eksklusif. Waktu muda saya pernah menyanyi dalam hutan untuk askar. Saya pun pernah menyanyi dalam fun fair. Letak sahaja di mana pun, saya akan menyanyi, tapi kena bayar.
“Ramai yang kata Salamiah mahal tetapi tahu atau tidak, saya adalah orang yang sangat simple. Kalau keluar rumah tak pakai mekap pun. Telefon saya mana ada filter gambar. Inilah diri saya. Saya tak peduli dengan semua itu.
Mungkin disebabkan saya kurang bercampur dengan orang membuatkan orang beranggapan bahawa saya ini penyanyi eksklusif.
“Tetapi bila saya keluar dan berjumpa dengan orang, saya seorang yang sangat mesra dan tidak pernah sombong,” katanya.
Istimewa untuk peminat yang merinduinya, Salamiah bakal mengadakan konsert bersama anaknya, Atilia Haron dalam konsert Gelombang Bahagiaku pada 16 Ogos depan bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – HIBGLAM