Untungnya selebriti berumah di ‘kayangan’

INDUSTRI hiburan Korea direkodkan sebagai antara bidang yang menjana pendapatan terbesar di dunia.

Tidak hairanlah jika ramai selebriti terkenal Korea mampu menetap di kawasan elit mengikut cita rasa masing-masing.

Kawasan Achiul di Guri, wilayah Gyeonggi yang terletak di sebelah timur pusat bandar Seoul menjadi pilihan beberapa bintang terkenal untuk bermastautin dan membina keluarga.

Terletak berhampiran kawasan berbukit yang tenang, namun hanya sekitar setengah jam dari pusat bandar, kawasan ini dikenali sebagai Kampung Seni.

Jadi, kali ini HibGlam menyajikan artis Korea terkenal yang menetap di kawasan itu.

Park Jin-young

DILABEL sebagai individu berpengaruh dalam industri hiburan Korea kerana mempunyai agensi sendiri iaitu JYP Entertainment, penyanyi Park Jin-young memiliki kediaman di Achiul.

Rumah mewahnya dilaporkan berharga sekitar USD$500,000 (RM2.35 juta).

Difahamkan, rumah tersebut turut memiliki gimnasium peribadi, gelanggang bola keranjang dan studio rakaman.

Oh Yeon-seo

KARIER seni bermula ketika berusia 15 tahun, pelakon Oh Yeon-seo antara heroin rebutan ramai pengarah dan membintangi banyak drama.

Setelah berjaya mengukuhkan kewangannya, bintang drama The Player 2: Master Of Swindlers itu mampu membeli kediaman mewah di kawasan Achiul seperti selebriti terkenal lain.

Dalam media sosial, wanita berusia 37 tahun itu sering menunjukkan keadaan rumahnya yang mengetengahkan reka bentuk kontemporari dan sangat elegan.

Hyun Bin, Son Ye-jin

SEBELUM mendirikan rumah tangga, pasangan pelakon Hyun Bin dan Son Ye-jin membeli rumah bernilai 4.8 bilion won (RM16,466,016) pada 2020.

Penthouse mewah tersebut mempunyai jendela tinggi, dapur canggih dan bilik tidur yang tenang.

Bagaimanapun, selepas empat tahun, Hyun Bin dilaporkan menjual penthouse tersebut pada harga 7 bilion Won (RM24,011,610).

Han So-hee

TAHUN lalu, pelakon Han So-hee membeli kediaman jenis penthouse di Schiu-dong, Guri, Wilayah Gyeonggi, Korea Selatan yang berharga 5.2 billion Won (RM16.3 juta).

Kediaman baharunya iaitu Arcadia Signature hanya terdiri daripada lapan unit dalam sebuah bangunan dengan dua tingkat bawah tanah dan empat tingkat atas tanah.

Penthouse tersebut menawarkan pemandangan Gunung Achasan, Sungan Han dan susun atur dupleks berkenaan membolehkan penggunaan ruang yang fleksibel. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok