Hidup lebih bahagia tanpa media sosial – Sharifah Sakinah

SELEPAS beberapa bulan tidak aktif, pelakon Sharifah Sakinah mengakui tidak bermain media sosial demi menjaga kebahagiaan diri dan keluarga.

Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 39, berkata, keputusan untuk ‘menyepi’ kerana risau jika apa yang dimuat naik boleh mengundang kata-kata negatif daripada orang luar.

“Saya sudah lama tidak buka media sosial, beberapa bulan juga dan itu buat saya seronok.

“Tidak perlu saya kongsikan tentang kehidupan peribadi tambah pula saya ada anak.

“Saya tidak mahu mengundang komen buruk, jadi apabila ada benda boleh saya kongsikan, baru saya muat naik dalam media sosial,” katanya kepada HibGlam pada majlis Pesta Unifi TV Lagi Best di The Curve, Damansara, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelakon drama Curang Tanpa Niat itu memaklumkan akaun media sosialnya kini diuruskan kakaknya yang hanya melibatkan perkara berkaitan kerja.

“Hidup saya pun semakin bahagia sebab tidak tahu apa jadi di luar sana. Selalunya kakak saya yang tolong muat naik apa-apa.

“Tanyalah fasal gosip artis mana-mana sekarang pun memang saya tidak tahu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sakinah kini sedang sibuk mempromosikan drama terbarunya berjudul Wok yang sudah ditayangkan dalam platform penstriman Unifi TV. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok