Gara-gara memakai gaun mencolok mata pada acara karpet merah, pelakon wanita asal China, Zhao Yingzi dihalau daripada terus terlibat dalam Festival Filem Cannes di Perancis.
Yingzi memakai gaun berwarna perak mendedahkan sebahagian dada dan perutnya.
Pakaiannya secara terang-terangan melanggar peraturan yang ditetapkan iaitu melarang tetamu memakai pakaian mencolok mata, terdedah dan menyukarkan pergerakan.
Ironinya, pakaian bertema dewi itu merupakan pakaian gantian Yingzi selepas busana asal yang sepatutnya digayakan di acara karpet merah kotor kerana tertumpah kopi.
Saya tidak sangka gaun saya akan kotor dengan bekas kopi. Ada sesiapa tahu cara cepat untuk menghilangkan kotoran ini?,” tulisnya di akaun Weibo berserta foto pakaiannya yang kotor.
Insiden tersebut berlaku pada 13 Mei dan menerusi video yang tersebar di internet, pelakon itu diminta meninggalkan karpet merah oleh kakitangan yang bertugas pada acara tersebut.
Berbeza daripada tahun- tahun sebelumnya, penganjur cukup tegas dengan peraturan berpakaian tetamu bagi mengekalkan prestij dan ‘maruah’ Festival Filem Cannes yang memasuki tahun ke-78 penganjurannya.
Sehari sebelum festival berlangsung penganjur telah menyiarkan notis dalam laman web rasmi yang melarang pemakaian pakaian mencolok mata dan terdedah bukan sahaja di acara karpet merah tetapi di semua tempat festival tersebut.
Bahkan supermodel Bella Hadid yang terkenal dengan pemilihan fesyen terdedah juga hadir mengayakan gaun hitam yang ringkas. – HIBGLAM