PENYANYI Datuk Nora Ariffin mengakui gembira apabila suaminya, Dr. Rushdi Ramli tidak melafazkan talak pada prosiding sebutan pertama perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.
Begitupun, Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Ariffin, 51, berkata, dia perlu mempertimbangkan perkara yang harus dilakukan selepas ini termasuk sekiranya perceraian tidak berlaku.
“Apa yang difahamkan, Dr. Rushdi menolak perceraian ini. Saya mohon ruang untuk melalui semua ini dan perlu fikir kalau teruskan (rumah tangga) adakah akan jadi perkara sama dan sebagainya.
Seronok juga (suami membantah perceraian) sebab rupa-rupanya dia masih sayang pada saya. Tetapi kena fikir langkah seterusnya macam mana.
“Kami tak bermusuh dan tiada benda yang nak benci dia. Sebab dia terlalu baiklah jadi begini. Namun, saya berserah,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Menurut Nora, dia akan melalui proses-proses yang akan berlangsung selepas ini dengan berlapang dada selain menegaskan tindakannya memfailkan perceraian bukan sengaja untuk mencipta drama rumah tangga.
Saya bukan nak cipta situasi atau buat drama. Saya tak perlukan semua itu dan hanya mahu bersihkan nama saya.
“Tindakan saya fail cerai pun sebab sudah terlalu penat melalui semua ini. Memang boleh bertahan tetapi sampai bila?
Saya sudah buat apa yang patut dilakukan. Hari ini pun keputusan dia yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
“Walau bagaimanapun, saya sebagai isteri, perlu hormat dan berbincang selepas ini,” katanya lagi.
Ditanya sama ada perbincangan dengan pihak suami selepas ini, Nora akan melakukannya mengikut keperluan.
Tengok keadaan macam mana, kalau perlu, perlu lakukan (komunikasi) sebab kami pun tidak bermusuh.
“Semua ini berlaku disebabkan gangguang anasir luar dan bukan daripada kami sendiri,” ujarnya.
Mengulas mengenai kecaman yang diterima daripada netizen berhubung kemelut rumah tangganya, Nora menegaskan dia hanya melakukan perkara yang sepatutnya.
Dia juga mengakui berasa penat dengan semua kemelut yang berlaku terutama melibatkan pihak ketiga.
Bagi saya, selagi saya tak buat benda negatif seperti orang cakap dan ada arah yang jelas, okey sahaja. Saya bukan buat benda jenayah dan perkara berdosa.
“Namun, perkara ini memang menjejaskan kerjaya seni. Pengalaman saya sebagai penyanyi selama 30 tahun tercalar begitu sahaja disebabkan perkara sebegini.
“Orang memilih untuk bercakap tentang rumah tangga saya berbanding kerjaya seni. Jadi, saya terlalu penat untuk melalui semua ini, cukuplah,” ujarnya lagi.
Disoal sama ada rasa sayang terhadap Dr. Rushdi masih wujud dalam hatinya, dia memberitahu tiada mana-mana pihak pun inginkan perpisahan.
“Saya pernah melalui bercerai mati dan sebagai isteri, siapa yang mahukan perpisahan.
Namun, kalau ini yang terbaik untuk saya dan anak-anak, memang perlu lalui juga walaupun perit sebab tak tahu apa yang Allah SWT sudah tulis.
“Hari yang mendatang, saya perlu duduk bertafakur dan berfikir. Sekurang-kurangnya sudah lakukan perkara sepatutnya untuk keluar dari persekitaran toksik.
Mengalah juga bukan bererti kita kalah. Hidup pun perlu diteruskan,” tuturnya lagi.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini menetapkan 4 Jun sebagai tarikh sebutan kedua kes perceraian Nora dan Dr Rushdi.
Peguam yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali berkata, ini bagi membolehkan pasangan tersebut menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Rushdi enggan menceraikan Nora pada prosiding yang berlangsung hari ini .
Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.
Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.
Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – HIBGLAM