‘Berdepan narsistik kita ‘hilang’ diri’

PELAKON Marissa Yasmin mengakui watak Sophia dalam drama Pabila Dia Tersenyum sangat dekat di hatinya kerana pernah berdepan lelaki narsistik.

Kongsi Marissa atau nama lengkapnya Marissa Yasmin Mariam Yaakob, 48, seseorang yang mempunyai personaliti gangguan personaliti narsisistik (NPD) tidak pernah mengakui kesilapan sendiri.

“Watak narsistik ini sangat dekat dengan diri saya kerana pernah berdepan dengan individu yang berperwatakan begitu.

“Hidup dengan seseorang yang mempunyai sifat narsistik tidak mudah dan saya boleh membezakan sama ada individu tersebut mempunyai masalah berkenaan atau tidak.

“Selalunya yang nampak jahat adalah mangsa manakala individu narsistik pula akan nampak tidak bersalah,” katanya kepada HibGlam semasa pelancaran drama Viu Pabila Dia Tersenyum, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelakon filem Tebus itu mendedahkan sering memberi peluang individu narsistik itu untuk berubah sebelum membuat keputusan angkat kaki daripada hubungan tersebut.

“Saya mendapat kekuatan untuk keluar daripada kancah itu apabila saya memberi tempoh bertahan dengan perangai mereka.

“Lebih kurang tujuh hingga lapan bulan saya hadap tetapi itu pun lama dengan harapan, kita doa dekat Tuhan semoga pintu hatinya dibuka dan berubah.

“Kalau beri peluang, mereka akan gunakan kita sampai kita ‘lunyai’. Narsistik ini tidak akan berubah kerana tiada ubat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Marissa turut menasihati golongan yang berdepan individu sedemikian untuk mempunyai kekuatan mental bagi melepaskan diri dari terus menjadi mangsa penderaan mental.

“Kita memerlukan satu kekuatan diri kerana apabila hidup dengan seseorang narsistik, kita akan hilang diri, kekuatan dan segalanya.

“Apabila berdepan dengan mereka, kita perlu mempunyai bukti kukuh walaupun pada akhirnya mereka akan mencari jalan untuk membuatkan kita salah.

“Mental juga kena kuat kerana mereka akan dera hingga membuatkan kita lemah, tidak boleh bercakap,” ujarnya.

Selain Marissa, Pabila Dia Tersenyum turut dibintangi Alya Iman, Amir Ahnaf, Iqram Dinzly dan Adam Lee.

Drama berdiri 15 episod itu disiarkan di platform penstriman Viu bermula 24 April lalu pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok