Anak-anak milik Hafidz Roshdi sepanjang cuti sekolah

MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam hari ini membenarkan pelakon Hafidz Roshdi mendapat hak lawatan interim terhadap dua anaknya sepanjang cuti sekolah selama dua minggu bermula 29 Mei depan.

Menurut peguam yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kader, dua anak Hafidz iaitu Humairah dan Umar akan berada di bawah jagaan bapa pelakon itu sepanjang tempoh tersebut sebelum diserahkan kembali kepada ibu mereka, Nurul Shuhada Mat Shukri.

“Hak lawatan dua anak mereka sepanjang dua minggu cuti sekolah pada bulan depan iaitu bermula 29 Mei hingga 9 Jun akan diberikan sepenuhnya kepada Hafidz.

“Jadi, Shuhada selaku defendan perlu akur dengan perintah mahkamah dan serahkan anak kepada Hafidz (plaintif).

“Kemudian kita akan teruskan kepada perbicaraan bagi tuntutan induk hadanah (hak penjagaan kekal) pada 29 Julai depan. Hari ini hanya keputusan interim hadanah sahaja,” katanya kepada HibGlam selepas prosiding keputusan interim hadanah di sini, hari ini.

Katanya, Shuhada yang kini menetap di Australia perlu membawa anak-anak pulang ke Malaysia dan mengikut perintah mahkamah.

“Dia perlu ikut perintah mahkamah. Jika tidak, tindakan seterusnya akan diambil mengikut undang-undang.

“Buat masa sekarang kita teruskan dan sudah dapat perintah mahkamah berkaitan interim hadanah.

“Pihak Shuhada juga dimaklumkan tentang prosiding hari ini,” katanya lagi.

Sementara itu, mahkamah juga meluluskan permohonan ibu kepada Shuhada iaitu Wan Latipah Yusof sebagai responden kedua bagi tuntutan interim hadanah dan induk hadanah.

“Wan Latipah sebelum ini membuat permohonan mahu menjadi responden kedua bagi kes hadanah dan mahkamah benarkan.

“Kemudian Wan Latipah melalui peguam yang memberitahu mahu menarik diri daripada menjadi responden kedua.

“Kemudian mahkamah benarkan dan diperintahkan membayar kos ganti rugi kepada Hafidz sebanyak RM2,000,” jelasnya.

Tambah Akberdin, antara alasan yang diberikan pihak Wan Latipah berhubung penarikan diri ialah tidak lagi mempunyai kawalan dan menjaga Shu termasuk Humairah serta Umar yang kini berada di luar negara.

“Mahkamah turut mendapati terdapat unsur kurangnya komitmen daripada pihak Shuhada. Tiada peguam baharu dilantik, dan dia sendiri tidak hadir ke mahkamah untuk memberikan sebarang makluman atau permohonan.

“Malah, peguam ibunya yang hadir hari ini hanya menguruskan penarikan diri anak guamnya dan tidak menyentuh langsung mengenai Shuhada sebagai responden utama,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia mempertikai komitmen Shuhada sepanjang tempoh kes berlangsung.

“Seperti yang ditetapkan oleh mahkamah, perbicaraan penuh akan diteruskan.

“Kita akan hadir bersama saksi dan bukti yang relevan untuk membela hak anak guam kami nanti,” jelasnya.

Terdahulu, pada 31 Oktober 2023, Shuhada memfailkan permohonan kepada pihak mahkamah untuk meletakkan ibunya sebagai responden tambahan dalam tuntutan hak penjagaan anak.

Untuk rekod, Hafidz atau dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, 27 Julai 2023. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok