SERAMAI 60 selebriti bakal memeriahkan Majestic Johor Festival 2023 yang kembali buat kali kedua bermula dari 26 Ogos hingga 3 September ini.
Acara anjuran Tourism Johor dengan kerjasama Star Vendors Event Sdn. Bhd. itu dijadualkan berlangsung di Puteri Harbour, Kota Iskandar, Johor.
Pengarah Urusan Star Vendors Event, Datuk Ifa Raziah berkata festival mega ini menghimpunkan ramai usahawan membabitkan fesyen, kecantikan, kesihatan, kembara, makanan dan minuman, sekali gus menjadi hub niaga.
Menurutnya yang juga penyanyi, selain penyertaan artis dan usahawan, pelbagai agensi kerajaan serta 10 daerah di Johor juga turut menawarkan aneka produk dan perkhidmatan masing-masing.
“Kami amat berbesar hati apabila Tourism Johor memberikan peluang kepada Star Vendors Event untuk menguruskan acara mega ini bagi edisi 2023.
“Objektif utama festival ini direalisasikan adalah untuk menjadikan Johor yang mempunyai banyak daerah sebagai destinasi pelancongan istimewa buat seisi keluarga.
“Matlamat Majestic Johor Festival 2023 antara lain menjadi platform eksklusif kepada usahawan tempatan serta selebriti tanah air berniaga,” katanya.
Antara personaliti popular yang turut membuka gerai termasuk Khai Bahar, Sherry Ibrahim, Black Hanifah, Noraniza Idris, Hafiz Suip, Reen Rahim, Nadia Brian, Ramlah Ram, Wak Doyok dan Datuk Seri Aliff Syukri.
Pada masa sama, Hard Rock Cafe dan Harley Davidson juga menyertai acara yang berlangsung di Tapak Pesta Puteri Harbour itu.
Sepanjang sembilan hari, banyak aktiviti sampingan akan diadakan, malah tahun ini pengunjung berpeluang menyaksikan penampilan khas Pasukan JDT bersempena ulang tahun penubuhan ke-10.
Orang ramai juga dapat menonton Konsert Jelajah Gegar Vaganza yang akan ditayangkan di saluran Astro, selain aktiviti untuk kanak-kanak seperti mewarna, karaoke Star Voice dan permainan.
Lebih menarik, tiada caj masuk dikenakan biarpun setiap malam penganjur menyajikan konsert khas membabitkan kemunculan ramai penghibur.
Bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan, perarakan dan pertunjukan bunga api pada ambang 31 Ogos dimasukkan dalam kalendar sebagai acara wajib.
Hari Merdeka ke-66 pula diserikan penyertaan Hot Air Balloon yang dibawakan Golden Value Ventures Academy dan dibuka secara percuma untuk 160 pengunjung terawal dengan syarat yang ditetapkan. – HIBGLAM