‘Tak merajuk, saya tahu mana boleh menyanyi percuma’

SAYA sudah matang. Saya tahu mana yang boleh menyanyi percuma, mana yang tidak.”

Itu respons Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza susulan luahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengenai kegusaran beliau seandainya Siti enggan menyanyi secara sukarela lagi.

Enggan mengulas lanjut tentang isu hangat yang membabitkan dirinya membuat persembahan di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Siti dia tetapi akan menjadi seorang Siti Nurhaliza dan tidak akan merajuk.

“Siti tetap Siti Nurhaliza. Saya tahu bila untuk berbakti kepada negara dan menghormati orang,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Telaga Suriram, semalam.

Terdahulu, perkongsian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memuat naik foto Siti serta Datuk Jamal Abdillah yang dijemput dalam majlis berkenaan bagi menghiburkan tetamu telah mendapat perhatian ramai.

Ada segelintir pihak mendakwa KKM sanggup membayar penyanyi undangan dengan harga lumayan namun tidak mampu menambah baik fasiliti kesihatan negara serta menambah bilangan kakitangan KKM yang semakin membimbangkan.

Disebabkan dakwaan tersebut Siti tampil membuat penjelasan bahawa dia hadir ke majlis tersebut sebagai tetamu bukanlah sebagai penyanyi undangan dan telah membuat persembahan secara percuma demi menghargai warga KKM. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok