Tiada persefahaman, Nina Iskandar kini janda

LAMA menyepi, pelakon Nina Iskandar mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suaminya yang juga penolong pengarah drama, Mohd Azlan Adzanan tahun lalu.

Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar, 33, menegaskan perceraian itu bukan kerana pihak ketiga sebaliknya tiada persefahaman.

“Saya tiada masalah untuk berkongsi dengan peminat tentang status terkini. Saya bercerai secara baik dengan bekas suami tahun lepas.

Perpisahan ini tidak melibatkan orang ketiga tetapi kerana kami tidak lagi sehaluan dan mahukan yang terbaik buat Rizqin (anak). Saya dan bekas suami tidak mahu dia membesar dalam suasana rumah tangga yang dingin dan memeningkan.

“Jadi, kami sepakat untuk berpisah secara baik dan anggap jodoh tak panjang,” katanya kepada HibGlam di majlis pelancaran SKANDARL Beauty, hari  ini.

Tambah Nina, dia dan bekas suami sudah tidak tinggal sebumbung sejak pertengahan 2022 tetapi enggan menghebahkan perkara itu kerana menjaga hati orang sekeliling.

Banyak hati yang perlu dijaga memandangkan belum ada kata putus mengenai perceraian ketika itu.

“Ada media bertanya mengenai status saya tetapi saya terpaksa kunci mulut kerana proses perceraian belum selesai,” katanya.

Meskipun berpisah, pelakon drama Andainya Takdir itu dan bekas suami sepakat untuk menggalas tanggungjawab terhadap anak tungal lelaki mereka, Aaryan Ar-Rizqin yang kini berusia lima tahun.

Kami bersetuju untuk besarkan Rizqin sama-sama.  Sebagai ibu, saya tidak boleh putuskan hubungan Rizqin dengan bapanya kerana itu darah daging dia.

“Saya juga bawa Rizqin pergi ke Johor jumpa keluarga bekas suami supaya dapat mengekalkan hubungan baik,” katanya.

Sebagai rekod, Nina dan Mohd Azlan yang mendirikan rumah tangga pada April 2029  dikurniakan seorang cahaya mata, Aaryan Ar-Rizqin, 5. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok