FATTAH Amin baik, dia anak emak.”
Pernah dikecam kerana menyebelahi Fattah, pelakon Pekin Ibrahim menegaskan tindakannya melakukan hal tersebut kerana yakin aktor berkenaan tidak melakukan sebarang perkara yang negatif termasuk berlaku curang seperti didakwa segelintir pihak.
Selain sudah berkawan lama sejak zaman belajar, menghabiskan masa selama dua bulan bersama sepanjang tempoh penggambaran filem Kulit Wayang di Terengganu turut membuatkan Pekin yakin Fattah bukan individu dengan sikap negatif seperti dikatakan ramai.
“Dia ‘family man’ dan setiap hari memang tiada kerja lain, hanya buat panggilan video dengan anak perempuannya, Fatima.
Sebab itu ketika isu itu keluar (perceraian), saya terus bagi kenyataan itu. Saya tahu dia macam mana, solat pun tak tinggal, orang baik. Saya yakin dia macam mana.
“Kalau saya ragu-ragu, memang kenyataan itu tak akan keluar tetapi saya yakin 110 peratus tentang dia,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan gala filem Kulit Wayang di sini, baru-baru ini.
Tambah Pekin, tindakannya memihak pada Fattah disebabkan pelakon itu dilemparkan tuduhan yang tidak berasas.
“Sebab dia kena perkara yang tak mungkin. Saya cakap begitu sebab memang percaya dia.
Selalu kalau lepak, kita tahu golongan lelaki macam mana. Selalunya kalau ada perempuan datang mesti ada yang tengok tapi Fattah tak begitu.
“Saya kenal dia dah lama, memang anak emak. Saya juga tahu nak label dia bagaimana,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pekin menegaskan dakwaan aktor Fattah Amin berlaku curang satu tuduhan berat.
Perkara tersebut dikongsi Pekin sehari selepas Fattah dan bekas isterinya, Fazura disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Sebelum itu, Fazura secara terbuka mendedahkan sikap curang Fattah menjadi salah satu punca dia menuntut cerai di mahkamah. – HIBGLAM