Syafie Naswip pernah dianiaya produksi, bayaran tertangguh dua tahun

Pelakon Syafie Naswip mengakui pernah berdepan pengalaman pahit apabila bayaran lakonan tergendala sehingga dua tahun.

Jelas Syafie atau nama sebenarnya Muhammad Syafie Naswip, 32, bayaran hanya dilunaskan selepas dia mengugut mahu membuat laporan polis.

Paling lama saya kena sidai sampai dua tahun. Sampai saya ugut nak buat laporan polis, barulah mereka bayar.

“Itu pun masa saya muda dulu, sebelum filem Songlap (2011). Sekarang saya dah dewasa, dah tahu jaga diri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Syafie berkata, pengalaman itu membuatkan dia lebih teliti sebelum bersetuju untuk terlibat dalam mana-mana projek.

“Apabila dah kena sekali, kita belajar. Jadi sekarang saya baca semua kontrak dari awal sampai habis.

Kalau dah janji bayar sebelum penggambaran, kena bayar. Kalau selepas, paling lambat seminggu,” ujarnya mengulas mengenai situasi pelakon dan kru yang tidak menerima bayaran ketika pertama kali bekerja dengan produksi baharu.

Pelakon filem Mukhsin itu turut menjelaskan, dia tidak berdendam dengan produksi terbabit, sebaliknya tetap menuntut hak seperti yang dipersetujui.

“Kami tak gaduh. Kalau jumpa pun masih bertegur sapa.

“Tapi saya tetap akan tuntut sampai dapat. Kalau tak mampu bayar, beritahu awal-awal. Jangan senyap,” kongsinya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Mantera, di sini, semalam.

Mengulas penglibatannya dalam Mantera bersama produksi baharu, Pro Merge Vision Sdn. Bhd, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 itu memuji kesungguhan pengarah Chester Pang dalam menjaga kebajikan pelakon.

“Chester tahu semua benda. Dia pernah jadi penerbit, jadi dia faham.

Produksi ni sediakan tempat tinggal, makan, duit minyak. Ada yang bayar banyak tapi lenjan pelakon, tidur pun tak cukup. Tapi sini semua cukup.

“Bayaran nombor dua. Kebajikan pelakon nombor satu,” jelasnya.

Filem Mantera bakal ditayangkan pada 24 April ini dengan menampilkan pelakon seperti Nam Ron, Jovenia Jim dan Larry Noh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok