‘Muktamad Sofia Jane, Tony Eusoff, tiada pilihan pertama atau kedua’

SELEPAS dua tahun ‘beku’ akhirnya filem Mencari Ramlee bakal menemui penonton di pawagam pada 19 Jun tahun ini.

Menurut pengarah dan penerbit, Megat Sharizal daripada Playground Film Sdn. Bhd., filem Mencari Ramlee diperam kerana masalah kewangan sementelah ini merupakan karya indie.

“Ini adalah filem pertama saya dan sebagai pembikin filem indie susah untuk bekerja apabila kita tidak ada duit.

Paling lama filem ini tersangkut adalah pada tahun lepas kerana kekurangan dana untuk ‘sound mixing’ dan ‘colour grading’. Waktu itu saya perlukan lagi RM200,000.

“Alhamdulillah, D’ayu Pictures sebagai pengedar dan pemasaran filem ini banyak membantu. Jika ada duit memang sudah lama filem ini disiapkan,” kata Megat Sharizal yang turut mendapat bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Finas.

Berkongsi tentang Mencari Ramlee, kata Megat Sharizal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan sumber inspirasinya sebagai karyawan seni.

Justeru, filem yang berlatarbelakangkan tahun 1970-an itu berpaksikan Seniman Agung P. Ramlee termasuklah terdapat beberapa adegan yang ‘dipinjam’ daripada filem-filem Allayarham.

Sejujurnya filem Mencari Ramlee diinspirasikan daripada P. Ramlee dan karyanya. Sebelum ini saya bercita-cita untuk bikin sebuah karya biografi tetapi sedar banyak kekangan untuk merelisasikannya.

“Oleh itu, saya buat keputusan untuk buat filem seratus peratus fiksyen tetapi masih menggunakan P. Ramlee sebagai subjek utama,” ujar Megat Sharizal.

Sofia Jane pilihan utama

Bahkan ketika menulis skrip Mencari Ramlee, tiada lain dalam fikirannya selain watak utama dijayakan Sofia Jane dan Tony Eusoff.

Saya tiada pilihan pertama atau kedua, pilihan saya hanya Sofia Jane dan Tony Eusoff. Jika mereka menolak tawaran saya, memang habislah saya kerana tidak tahu siapa lagi yang mampu membawakan dua watak ini.

“Alhamdulillah, mereka menerimanya walaupun sedar bayaran tidaklah begitu mahal kerana bajet terhad. Bagi saya inilah karya pertama merupakan acuan saya seratus peratus. Diharap penonton boleh menerimanya,” kata Megat Sharizal.

TONY menjayakan watak Zakaria yang menyamar sebagai P. Ramlee demi melunaskan hutangnya.

Sementara itu, Sofia Jane menjelaskan, dia menerima tawaran untuk membintangi Mencari Ramlee kerana karyanya unik dan berbeza.

Rugi baginya jika menolak tawaran membintangi karya yang begitu besar jiwanya untuk rakyat Malaysia.

“Bila lagi saya akan dapat berlakon dalam karya begini, bukan sakadar hiburan tetapi sejarah tentang seniman agung.

“Segala-gala tentang filem ini sangat berbeza. Semasa di set penggambaran saya langsung tidak rasa penat kerana seronok.

“Set juga berbeza kerana latar belakang 70-an, lontaran dialog saya pula adalah wanita yang masih tersekat dalam dunia 1950-an. Saya seronok bermain dengan watak Zaiton,” luah Sofia.

Naskhah Mencari Ramlee mengisahkan Zakaria (Tony Eusoff), seorang peniru gaya P. Ramlee yang mempunyai masalah kewangan sehingga terpaksa berhutang dengan gengster.

Gengster tersebut mempunyai seorang kakak, Zaiton yang menghidap amnesia dan berfikiran dia masih hidup pada tahun 1950-an. Demi melangsaikan hutangnya, Zakaria terpaksa mengikut arahan untuk menyamar menjadi P. Ramlee demi membahagiakan Zaiton.

Selain Sofia Jane dan Tony Eusoff, filem itu turut dibintangi Mimi Lana, Megat Sharizal, Han Zalini, Abi Madyan dan penampilan istimewa Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Anas Ridzuan, Bront Palarae, Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie, Nadia Aqilah serta Vanidah Imran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok