Drama air mata, hiburan tanpa henti iringi Syawal

JIKA Ramadan dilihat sebagai medan perang pelancaran lagu raya, Syawal pula menjadi ‘gelanggang tempur’ stesen televisyen dan platform penstriman untuk berlumba-lumba dengan pelbagai kandungan kreatif yang bertemakan suasana Hari Raya Aidilfitri.

Menjulang tema RaRa Indahkan Memori, stesen Media Prima menerusi saluran televisyen TV3 dan TV9 menghidangkan pelbagai program hiburan untuk seisi keluarga sepanjang Syawal tahun ini.

Antara rancangan hiburan paling dinanti-nanti ramai pastinya Famili Duo Raya yang akan bersiaran pada hari raya ketiga pukul 9 malam, manakala Melodi Raya pula bertemu penonton pada raya keempat.

Bertemakan Syukuri Syawal, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula bakal membawa penonton mengimbau nostalgia raya menerusi program Opah! Esok Hari Raya pada malam raya.

Program tersebut akan mengembalikan nostalgia kad raya dan video ucapan raya selain turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air.

Syawal bertambah meriah menerusi RTM pada 2 April pukul 9 malam apabila menghimpunkan ramai barisan penyanyi ternama tanah air, seperti Hael Husaini, Haqiem Rusli, Datin Alyah dan Amelina dalam program Temasya Aidilfitri 2025.

Mengangkat tema Meriah Lain Macam, Astro masih mengekalkan resipinya setiap kali Syawal dengan lambakan lebih 160 kandungan raya istimewa pelbagai genre yang boleh dinikmati menerusi pelbagai saluran termasuk digital dan radio bermula malam raya.

Drama bikin ‘koyak’ jiwa

Antara sajian utama yang dinanti pastinya deretan drama yang mampu membuatkan emosi penonton ibarat roller coaster, sekejap tawa berdekah, seketika kemudian berderai air mata.

DRAMA yang mendapat pujian ramai. Seribu Tahun lakonan Azhan Rani dan Noor Khiriah setia menemani peminat dengan banyak lagi tangisan dan kisah penuh ranjau.

Astro meneruskan kejayaan tujuh drama Ramadan Raya yang telah menjadi kegemaran ramai, antaranya Dia Imamku, Seribu Tahun, Honey Minta Maaf dan Dendam Seorang Madu.

Setiap satunya menyajikan kisah penuh emosi, menyentuh hati penonton dengan plot yang penuh kejutan dan mesej mendalam.

Bukan sekadar kisah romantik dan keluarga, Umar serta Geng D.U.I.T menambah variasi dengan tema lebih segar dan dinamik.

Sementara itu, siri terbaharu Astro Originals, First Wives lakonan Mimi Lana, Melissa Campbell dan Malek Mccrone menjanjikan penceritaan yang cukup berani dan menarik untuk menghangatkan lagi Syawal kali ini.

Bagi pencinta telefilem, Syawal kali ini lebih istimewa dengan 12 telefilem baharu yang akan menemui penonton bermula 1 Syawal menerusi Astro Ria, Astro Prima dan Astro Ceria.

Astro Ria membawakan naskhah cinta dan konflik keluarga menerusi telefilem seperti Rapun, Cinta Untuk Sekali Lagi Raya, Andai Tiada Dia Raya, Pulau Cinta Syawal, Setia Di Hujung Ingatan dan Dia Punya Hati, karya istimewa daripada Siti Rosmizah.

GANDINGan mantap Fauziah Ahmad Daud, Sahronizam Noor dan Nad Zainal menjanjikan tontonan penuh dramatik pada 2 April menerusi Astro Ria.

Saluran Astro Prima pula tampil dengan pelbagai telefilem menarik untuk tontonan seisi keluarga, daripada kisah komedi hingga naskhah penuh emosi seperti Terculik Sana Tertukar Sini, Jemaah Penanggan Kg Lenggong, Pajak Raya, Ayah Jangan Nangis dan Setia di Hujung Ingatan. Sementara itu, Astro Ceria tidak melupakan penonton cilik dengan telefilem penuh pengajaran dan fantasi.

Bintang Dari Beaufort mengisahkan perjalanan remaja Sabah dalam mengejar impian, manakala OSOM membawa pengembaraan seorang pemain video ke dimensi lain yang penuh dengan keajaiban.

Tidak kalah, platform penstriman video OTT (Over The Top) Unifi TV tidak ketinggalan menyajikan drama istimewa sepanjang bulan mulia nanti.

Antaranya termasuklah drama berjudul Wok lakonan mantap Sharifah Sakinah dan Azhan Rani yang bakal memberikan pengalaman tontonan yang tidak boleh dilepaskan.

Selain itu, Unifi TV Originals membawakan telemovie Alibi, gandingan pelakon hebat Hisyam Hamid, Nabila Huda dan Nadia Aqilah, menjanjikan drama yang penuh debaran dan tanda tanya.

TELEFILEM Wok menyaksikan gandingan mantap Sharifah Sakinan dan Azhan Rani yang bakal mencuit emosi penonton.

Sepanjang Syawal, drama-drama hebat seperti Keluarga Itu dan Sekam Di Dada akan terus menghiasi slot-slot popular TV3.
Sementara TonTon pula bakal membawa drama baharu berjudul Bruh lakonan Shukri Yahaya, Amerul Affendi dan Siti Hariesa bermula 10 April depan.

RTM menerusi TV1 pula pastinya akan mengundang air mata Syawal menerusi drama Along Bakal Mati Syawal Ni? lakonan hebat Mat Over, Farah Ahmad, Wan Hanafi Su dan Jalil Hamid yang bakal menemui penonton pada raya pertama pukul 9 malam.

Filem ‘pecah panggung’

Astro tidak pernah mengecewakan dalam memberikan hiburan terbaik untuk seisi keluarga. Tahun ini, koleksi filem ‘pecah panggung’ bakal menghiasi malam-malam Syawal, memastikan tiada detik yang membosankan sepanjang perayaan.

Salah satu filem yang dinanti ialah Harimau Merah: Konflik Bermula, naskhah aksi mendebarkan lakonan Luqman Hafiz, Ben Amir dan Ammar Alfian.

Filem tersebut membawa kisah seorang polis menyamar dalam geng Harimau Merah demi membongkar korupsi, menjanjikan plot penuh ketegangan dan aksi luar biasa.

Bagi peminat seram, bersedialah untuk meremang dengan Emp4t, sebuah thriller seram yang mengisahkan Sree, seorang gadis dengan kebolehan melihat makhluk halus. Lakonan Adriana Adnan, Syafie Naswip dan Alvy Joanna bakal membawa penonton ke dimensi seram yang menguji keberanian.

Melengkapkan lagi kepuasan beraya, Astro First turut mempersembahkan Qodrat 2, sekuel kepada filem seram pecah panggung dari Indonesia.

Gandingan Vino G. Bastian dan Acha Septriasa kembali dengan kisah penuh suspen dan elemen mistik yang pasti membuat penonton tidak senang duduk.

Hiburan nyanyian

Selain drama dan filem hebat, Syawal kali ini lebih bermakna dengan program variasi serta hiburan yang bakal menceriakan suasana perayaan. Gelak tawa, persembahan memukau dan detik penuh magis bakal mewarnai kaca televisyen sepanjang Aidilfitri.

NADEERA menjadi antara penyanyi dalam Bombastika Raya: Detik Bersama siaran Astro.

Malam raya akan dimeriahkan dengan Bombastika Raya: Detik Bersama yang menampilkan trio pengacara kesayangan, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.

Dengan celoteh bersahaja dan jenaka yang mencuit hati, mereka akan menghiburkan penonton menerusi sketsa spontan serta temu bual eksklusif bersama selebriti popular.

Tidak cukup dengan itu, MagiSiti 2025 pula hadir sebagai ‘buah tangan’ istimewa buat peminat seni tanah air.

Program khas ini menampilkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan mempersembahkan alunan suara emasnya dalam sebuah persembahan eksklusif.

Lebih istimewa, beliau turut ditemani bintang baharu seperti Nadeera dan Umai yang bakal menambah kemanisan malam Syawal dengan lagu-lagu merdu.

Bagi peminat program realiti, Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), bintang musim itu kembali bersatu dalam sebuah konsert Aidilfitri khas, mempersembahkan lagu-lagu malar segar yang menggamit nostalgia.

Penonton bakal disajikan dengan persembahan luar biasa yang mengembalikan semangat raya penuh kegemilangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok