WALAUPUN jodoh bersama penyanyi Adira Suhaimi sudah berakhir, Datuk Red tersentuh apabila bekas isterinya itu bersungguh-sungguh meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-47, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dalam TikTok, Datuk Red atau nama sebenarnya Adnan Abu, meluahkan rasa terharu dengan usaha Adira yang sanggup mengeluarkan wang dan tenaga demi meraikan hari istimewanya.
Alhamdulillah, percaturan Allah adalah yang terbaik. Terima kasih Adira, habiskan wang, tenaga dan usaha untuk sambut hari kelahiran saya.
“Untuk Adira, saya sudah tiada kata-kata untuk awak,” luahnya
Lebih bermakna, sambutan itu turut mempertemukan Datuk Red dengan kesemua anaknya, sesuatu yang sangat dihargainya.
“Saya gembira dapat kumpulkan 10 anak dan berjumpa adik-beradik. Nikmat besar yang sudah lama saya impikan.
Berbeza dengan tahun lepas hanya saya sambut seorang diri dalam kereta.
“Akhir sekali buat Adira, andai kita tiada jodoh dan usia saya singkat, saya doakan awak bahagia serta berjaya bersama anak-anak,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya sebak dengan keikhlasan Datuk Red terhadap bekas isteri dan anak-anak.
“Walau sudah berpisah, masih ada rasa hormat dan kasih. Semoga Adira terus kuat,” tulis seorang pengguna TikTok.
Sedih dengar doa terakhir Datuk Red untuk Adira. Moga dia dipermudahkan dalam segala urusan,” ujar seorang lagi.
Adira berkahwin dengan Datuk Red pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.
Sebelum ini, rumah tangga Datuk Red dengan isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim juga berakhir dengan perceraian pada 13 Mei tahun lalu dan mereka mempunyai lima orang anak.
Usahawan itu pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun tetapi perkahwinan berakhir selepas lima tahun dengan dua cahaya mata. – HIBGLAM