22
Selepas hampir empat dekad mendapatkan semula pita asal empat filem terbitan, seniwati Datuk Sarimah Ahmad akhirnya berjaya menuntut haknya.
Sarimah, 83, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pencetus dalam mendapatkan semula filem tersebut.
“Pertama kali, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani khususnya buat Perdana Menteri kita.
Saya tidak dapat membalas budi, cuma Allah sahaja yang akan membalasnya, katanya.
Mengimbau kembali kenangan, pelakon filem Madu Tiga itu pernah hampir berputus asa tetapi bangkit semula selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Karyawan Malaysia membantu mendapatkan haknya semula.
“Bila melihat Finas dan Karyawan bersemangat untuk membantu saya menyelesaikan ini, saya kembali yakin yang usaha ini akan berhasil.
“Sebaik dimaklumkan yang pihak pengedar bersetuju untuk menyerahkan kembali hak cipta filem dua minggu lalu, saya terus tergamam.
Saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana penantian selama 37 tahun berakhir dengan berita gembira,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi iaitu Teo Nie Ching memaklumkan pihaknya akan mempertimbangkan pemberian royalti hasil lakonan Sarimah selain memberi jaminan kesemua karyanya dikembalikan dalam masa terdekat.
Kami akan mengkaji perkara ini dan secara prinsipnya, syarikat terbabit bersetuju sekiranya filem ini dapat ditayangkan di RTM. Sedikit royalti boleh disalurkan kepada Sarimah.
“Namun, butiran lanjut akan diteliti bersama pihak,” jelasnya.
Kongsinya lagi, syarikat pengedar filem-filem ersebut menyerahkan Salinan format HDD kepada Finas bagi tujuan restorasi bagi membolehkan karya tersebut diserahkan semula kepada Sarimah.
Bukan hanya itu, pengedar filem berkenaan akan memberikan wang saguhati kepada Sarimah sebagai tanda penghargaan atas sumbangannya dalam industri perfileman negara.
Februari lalu, Sarimah meluahkan rasa kecewa apabila seorang penerbit didakwa tidak menepati janji bagi memulangkan pita asal empat filem hasil terbitannya berjudul abus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak yang disimpan sejak 36 tahun lalu.
Kata Sarimah, ketika itu dia terpaksa menyerahkan salinan asal pita berkenaan bagi membayar hutang kepada penerbit yang identitinya enggan didedahkan. -HIBGLAM