Tahun 2025 pakat kalut perang lagu raya

SABAN tahun, bulan Ramadan memang meriah ‘gema’ Aidilfitri apabila ramai penyanyi meluncurkan lagu raya masing-masing.

Seperti sudah menjadi tradisi wajib setiap tahun. Kalau tiada lagu raya, tak lengkap sambutan Hari Raya Aidifiltri kita semua.

Tahun ini menyaksikan belasan penyanyi berebut mengisi gelombang sambutan Syawal apabila muncul dengan lagu raya.

Semua itu barangkali mahu meneruskan kejayaan Alamak Raya Lagi!, Ketipak Ketipung Raya dan Raya Mana, antara lagu raya alaf milenium yang berjaya meledak tahun lalu.

Antara buat pertama kali muncul dengan lagu raya ini termasuklah Daiyan Trisya duet bersama Alfie Zume (Jom Raya), Achey berkolaborasi dengan Tantari dan Baby Feaa (Ragam Raya), Liyana Jasmay bersama anak perempuannya, Selena Jasmay (Sekali Sekala Raya), Soma (Aku Tetap Raya), Siti Nordiana (Hari Lebaran) dan Amir Jahari serta Beto Kusyairy (Hari Mulia).

Untuk tahun ini, HibGlam menyenaraikan beberapa lagu yang mula menjdi siulan ramai.

Meriah Lain Macam (Nadeera, Hael Husaini)

KALAU nak pilih lagu paling viral tahun ini, Meriah Lain Macam antara yang berada di kedudukan teratas.

Dengan populariti Nadeera yang sedang meledak, sedikit sebanyak memberi impak besar terhadap Meriah Lain Macam duet bersama Hael Husaini ‘mendonia’ ketika ini.

Dihasilkan oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, Meriah Lain Macam berjaya mendapat tempat dalam hati pencinta lagu raya tempatan tahun ini.

Baru dilancarkan, lagu ini turut menjadi siulan ramai selebriti tanah air dalam media sosial.

Raya Gen Z (Alyssa Dezek, Ara Aziz, Cik B & Qadejah Aliff Syukri)

 

DALAM ratusan lagu, Raya Gen Z nyanyian Alyssa Dezek, Ara Aziz, Cik B dan Qadejah Aliff Syukri antara yang terawal diluncurkan pada tahun ini iaitu sebelum Ramadan.

Pada awalnya lagu raya moden itu mengundang kecaman ramai dalam media sosial kerana dikatakan tidak membawa ‘vibe’ raya selain dilabel ‘syok sendiri’.

Namun hakikatnya, lagu ini berjaya melekat dalam kepala ramai dan buktikan banyak digunakan sebagai muzik latar untuk konten media sosial.

Menariknya, muzik video lagu tersebut dirakam di Turki dan difahamkan Raya Gen Z dihasilkan untuk sebuah program yang menggabungkan empat gadis berkenaan.

Raya Ya Ya (Aliff Syukri, Iman Troye)

BERMULA dengan gimik pergaduhan dalam media sosial sehingga membawa ke balai polis, Iman Troye dan Datuk Aliff Syukri berjaya ‘kencing’ satu Malaysia!

Disebabkan menggunakan gimik sebelum meluncurkan lagu Raya Ya Ya, ramai berpendapat tindakan tersebut sebagai murahan.

Namun, muzik video rasmi Raya Ya Ya yang dilancarkan pada dua minggu lalu berjaya meraih sejuta tontonan dalam YouTube.

Lucunya, ada netizen yang bersyukur lagu tersebut berjaya menjadikan Aliff sebagai ‘penyanyi normal’ untuk lagu raya berbanding sebelum ini.

Jodoh Hari Raya (Dayang Nurfaizah)

LAGU raya paling ‘mellow’ tahun ini mungkin menjadi milik Jodoh Hari Raya nyanyian Dayang Nurfaizah.
Mengetengahkan irama tradisional, pada asalnya ramai menyangka Jodoh Hari Raya adalah salah satu daripada lagu dalam album Belagu tetapi hakikatnya baru dilancarkan!
Mendapat sentuhan Shazriq Azeman, Iqie Hugh dan Omar K, Jodoh Hari Raya membuktikan lagu raya alaf baharu tidak semestinya harus dihasilkan dengan rentak moden atau perlu rancak bergoyang.
Cukup dengan lirik yang ringkas, Dayang berjaya mencuri perhatian ramai pada tahun ini selain ramai menyangka Jodoh Hari Raya memberi ‘hint’ dia bakal bertemu bakal suami tidak lama lagi.

Pum Pam Raya (Syasya Rizal, Fazura)

SIAPA sangka Syasya Rizal dan Fazura akan bergabung dalam sebuah lagu raya tahun ini?

Jika dilihat kanvas seni dua penyanyi tersebut, mereka sudah lama tidak muncul dengan single baharu tetapi ‘tup tup’ keluar lagu raya.

Bergabung suara dalam Pum Pam Raya, lagu ini mengundang kejutan ramai kerana tidak menyangka dengan kemunculan Fazura.

Selain rentak yang ‘catchy’, lirik lagu ini meninggalkan impak mendalam kepada para pendengarnya yang mengetengahkan mesej dan nasihat agar tidak menyibuk dengan hal orang lain.

Tak Balik Raya (Umairah)

BARU berusia 14 tahun, Umairah dilihat antara penyanyi muda yang bertuah kerana sudah memiliki lagu raya sendiri berjudul Tak Balik Raya.

Tak Balik Raya meraih pujian kerana iramanya dikatakan mengimbau semula kemeriahan dan nostalgia lagu-lagu raya zaman 1990-an, namun diolah dengan versi lebih moden.

Lagu nyanyian anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza itu merupakan hasil ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito.

Baru dilancarkan minggu ini, video muzik rasmi Tak Balik Raya berjaya meraih lebih 120,000 tontonan.

Lagu berkenaan mengetengahkan mesej tentang realiti sebenar dialami oleh anak rantau setiap kali menjelang musim perayaan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok