Seribu Tahun ‘keluarkan’ Azhan daripada kepompong watak hitam

Lari daripada kebiasaan, pelakon Azhan Rani mencabar diri membawakan peranan suami setia yang sanggup mempertahankan cinta sekali gus dijangka bakal menjadi watak kesayangan penonton.

Kata Azhan atau nama sebenarnya, Azhan Abdul Rani, 49, karakter lelaki mithali dalam drama Seribu Tahun merupakan tindakan berani pengarah Shahrulezad Mohameddin itu keluar dari kepompong watak antagonis.

“Kali ini saya ‘dibebankan’ dengan watak kesayangan penonton. Watak ikonik, suami yang pertahankan cinta agung terhadap isteri walau diasak dugaan hidup dan ujian.

“Shukri digarap Shahrulezad dari sudut sangat berbeza. Bukan saya tidak pernah bawa watak protagonis tetapi melalui sudut pandangan pengarah untuk cerita Seribu Tahun sangat berbeza. Tidak mudah.

“Kali ini, saya membawakan watak Shukri yang merupakan keputusan luar biasa Budak Ijat membawa saya keluar daripada kepompong watak hitam,” katanya.

Menurut aktor berpengalaman itu, keampuhan dua watak yang pernah digalas juga di bawah garapan pemilik Radius One itu kekal melekat dalam ingatan khalayak.

“Ramai tahu saya beberapa kali berlakon drama arahannya termasuk Nur dan Khunsa. Selama berlakon drama Budak Ijat (Shahrulezad) ada dua watak yang sinonim buat penonton iaitu Ustaz Madi dan Wan Jusoh.

“Apabila Khunsa keluar Ramadan tahun lalu, ke mana-mana saya pergi orang panggil dengan nama Wan Jusoh dan penonton pun geram dengan rambut Wan Jusoh yang ikonik.

“Orang meluat dengan Wan Jusoh, suami dan ayah yang tegas melampau. Dalam drama Nur saya sebagai Ustaz Madi iaitu karakter yang tak baik.

“Jadi ikut pengalaman saya yang tidak berapa lama sangat jadi pelakon, inilah karya paling susah dan paling lama saya bawakan. Penangan tajuk sendiri iaitu 1000 tahun, sekarang saya ada 900 tahun lagi utk siapkan drama ini,” ujarnya.

Menurut Azhan lagi, jika penonton berjumpa dengannya di luar dan memanggilnya sebagai Shukri, itu menandakan dirinya sudah berjaya menyahut cabaran.

“Ini watak paling susah. Saya tak boleh katakan bahawa ini watak paling baik atau bermakna kerana pengertian tersebut adalah untuk ditafsirkan khalayak.

“Selepas ini, jika anda jumpa saya di mana-mana dan ingat nama Shukri, makna saya tahu watak ini melekat dalam minda anda.

“Tapi kalau anda masih sebut Wan Jusoh atau Ustaz Madi, maknanya mungkin watak Shukri ini belum kuat untuk memintas dua nama sebelum ini,” tambahnya.

Drama 24 episod ini berkisar seorang wanita hamil luar nikah melarikan diri ke sebuah kampung dan di situ dia bertemu sepasang suami isteri yang akhirnya menawarkannya menjadi isteri kedua bagi mengelak fitnah.

Selain Azhan, Seribu Tahun yang turut membariskan Emma Maembong, Noorkhiriah dan Mikael Noah bakal disiarkan di Slot DramaVaganza, Astro Ria bermula 5 Mac 2025.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok