‘Orang dah mula nampak kebenaran, mereka berjiwa besar’

Menggantikan penyampai 3 Pagi Era, pelawak Namie memaklumkan tidak akan selamanya duduk di kerusi milik Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jazmin yang kini digantung tugas susulan video kontroversi mempersenda aksi kavadi Hindu.

Kekok menggalas tanggungjawab dengan bergandingan bersama Munabella, Namie atau nama lengkapnya Najmi Shaharudin, 29, berharap ketiga-tiga penyampai radio terbabit dapat kembali ke konti dengan segera.

“Tugas saya hanya menggantikan sementara. Harap maklum ya.

“Kepada abang-abang saya Radin, Nabil dan Azad, kalian berjiwa besar dan dah buat apa yang sepatutnya dilakukan. Orang dah mula nampak kebenaran.

“Konti ini pentas dan rumah kalian. Kekok rasanya bila ganti sebab kalian bercuti dengan ganti asbab kejadian ini. Cepat pulang ya,” katanya dalam InstaStory.

Dalam hantaran tersebut, Namie menunjukkan suasana konti yang sunyi tanpa kehadiran ketiga-tiga sosok penyampai radio terbabit.

Sebelum ini, Nabil, Radin dan Azad selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.

Selain penyampai-penyampai program itu, tiga lagi kakitangan Era FM juga turut dilihat beredar dari lokasi sama.

Baru-baru ini, video permohonan maaf mereka tular selepas insiden mempersenda tarian kavadi Hindu ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan mencetuskan kontroversi.

Video tersebut mengundang kemarahan ramai kerana didakwa tidak menghormati sensitiviti agama lain.

Rentetan itu, Astro turut memaklumkan tiga penyampai radio dan dua lagi kakitangan digantung tugas sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan kontroversi terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok