Pempengaruh Mek Yun kecewa sehingga mata bengkak akibat menangis apabila akaun TikToknya yang diikuti 1.4 juta pengikut lenyap selepas digam pengelola aplikasi itu.
Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yu Nee, 28, berkata, paling menyedihkan kerana pelbagai kenangan manis dikongsikan dengan pengikutnya dalam platform berkenaan.
Saya dan Abe Wee (abangnya) rasa ‘down’ sangat. Satu malam saya menangis. Bukan TikTok Abe Wee saja kena ‘banned’, TikTok saya pun kena ‘banned’.
“Bayangkan, bertahun-tahun saya bina platform itu sampai naik 1.4 juta pengikut, setiap video dan setiap memori yang kami kongsikan dengan kalian hilang dalam sekelip mata.
“Saya tak faham, apa salah saya. Konten saya hanya untuk sebarkan nilai positif, kebahagiaan dan kongsikan hidup saya dengan kalian. Tapi, semua itu hilang begitu saja tanpa amaran,” katanya dalam hantaran video di Threads.
Menurut wanita Tionghua asal Kelantan itu, platform terbabit juga merupakan medan buatnya mencari rezeki sebagai pempengaruh dan pencipta kandungan.
Biarpun masih sukar menerima kenyataan, Mek Yun tetap positif apabila membuka akaun TikTok baharu yang diikuti lebih 248,000 pengikut dalam tempoh sehari.
“Lebih sakit, ini adalah karier saya sebagai seorang pencipta kandungan (content creator).
Sementara itu, saya buka akaun baharu ini sebab saya takkan putus asa buat kandungan untuk kalian semua. Sedih,” ujarnya.
Selain pelakon drama Perang Nasi Dagang itu, akaun TikTok abangnya yang juga pempengaruh popular, Abe Wee turut lenyap pada waktu sama..
Mek Yun bersama keluarganya dikenali netizen menerusi video yang menonjolkan kefasihan mereka bertutur dalam loghat Kelantan. – HIBGLAM