PELAKON Wanna Ali akur dengan permintaan suaminya, Khairil Amri Khalid yang meletakkan syarat agar tidak berlebihan dalam melakonkan babak bersentuhan.
Meskipun meletakkan limitasi, Wanna, 28, bersyukur suaminya tidak menghalang untuk dia meneruskan kerjaya sebagai pelakon walaupun sudah bergelar isteri.
“Dia tahu kehidupan saya memang sibuk sebelum ini dan kalau boleh nak benda itu berterusan. Kalau duduk rumah tak buat apa pun, jadi macam bingung.
“Saya rasa, setiap suami yang sayangkan isteri dan menjaga keselamatan isterinya, akan buat seperti mana suami saya juga.
“Suami saya tak kisah saya bekerja, cuma jangan watak yang bersentuhan berlebihan. Sebagai isteri, saya sangat memahami permintaan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis kempen Ramadan Raya Indahkan Memori Media Prima di sini, semalam.
Dalam masa sama, dia juga akan lebih selektif menerima tawaran lakonan dan memilih skrip yang memperjuang kehebatan wanita.
“Sebelum ini, saya terima sahaja apa-apa tawaran lakonan tetapi sekarang akan hanya pilih yang tertentu sahaja.
“Saya tak mahu bawa watak yang terlalu merendahkan wanita. Contohnya, watak wanita simpanan, saya tak mahu buat.
“Saya mungkin akan ambil watak yang ada ‘women empowerment’ dan rasa kuat bila jayakannya. Kalau karya seram dan sebagainya, okey lagi,” katanya lagi.
Terdahulu, Wanna selamat mendirikan rumah tangga dengan Khairil yang juga anak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 9 Februari lalu. – HIBGLAM