TERUS melakar sejarah, penyanyi Ernie Zakri mencipta rekod apabila muncul sebagai pemegang rekod nombor satu paling lama bertahan dalam carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Lagu berjudul Masing-Masing menduduki tangga pertama carta berkenaan selama 27 minggu selain belum ada karya lain meraih pencapaian tersebut.
Pihak pengurusan Universal Music Malaysia (UMM) percaya kejayaan karya itu merupakan peluang pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, terus mengorak langkah dalam kerjaya seni.
“Ernie adalah bukti kejayaan terbesar untuk inisiatif Nusantara kami. Dia meraih pengiktirafan mengagumkan sebagai artis Malaysia melakar sejarah menduduki tangga tertinggi carta di tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
“Kini, inisiatif untuk terus ke depan adalah dengan fokuskan kepada strategi Ernie iaitu menguatkan lagi hubungan bersama peminat menerusi pengalaman menyantuni khalayak.
“Ini termasuk melancarkan lebih banyak lagu, tingkatkan interaksi dengan peminat di pelbagai platform dan merancakkan lagi acara persembahan secara langsung,” kata wakil UMM.
Bukan hanya itu, pihak UMM juga sudah merancang beberapa kolaborasi pelantun lagu Aura itu bersama nama-nama besar dalam industri muzik dalam dan luar negara.
Sebelum ini, lagu ciptaan Ade Govinda muncul sebagai lagu tempatan paling tinggi distrim iaitu mencecah sebanyak 130 juta.
Selain kejayaan tersebut, Ernie juga tampil menjayakan konsert Aura pada 25 Januari lalu dan tiket habis dijual dalam tempoh tujuh jam selepas dilancarkan.
Malah, dia turut diumumkan sebagai pemenang kategori vokal terbaik semasa Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) menerusi lagu Aura baru-baru ini. – HIBGLAM