PEMPENGARUH juga usahawan sensasi, Cik Epal menegaskan perkongsian menerima jumlah bayaran reviu produk dalam media sosial sekitar RM20,000 sehingga RM100,000 bukanlah sekadar cerita rekaan untuk menarik perhatian.
Menurut Cik Epal atau nama penuhnya, Murni Mahmud, harga tersebut ditetapkan selepas popularitinya mencanak naik, terutama apabila kisah perceraiannya mendapat perhatian meluas sejak kebelakangan ini.
“Saya rasa harga itu bersesuaian dengan hasil yang akan saya berikan. Kalau ada yang mahu bayar, saya akan buat dengan sehabis baik.
Sesiapa yang pernah bekerja dengan saya, mereka pasti tahu saya akan ‘all out’. Insya-Allah mereka (klien) akan dapat pulangan mungkin lima kali ganda.
“Saya bukan artis atau selebriti tapi sebenarnya ahli perniagaan. Jadi, saya tahu macam mana pasaran ini, namun dengan harga tetap boleh bincang,” katanya ditemui pada majlis ramah mesra duta Jakel bersama pelanggan di Jakel Shah Alam, baru-baru ini.
Tambahnya, selepas memuat naik hantaran mengenai harga tersebut, dia menerima panggilan dan tawaran daripada dua syarikat untuk bekerjasama.
Sebelum ini pun memang ada orang pernah bayar ikut harga tersebut. Ramai yang bertanya jadi saya beritahu.
“Dulu saya tak buka untuk reviu sebabsaya berniaga. Namun, bila nama ‘mendunia’ ketika ini, saya ambil peluang tapi tetap tahu ‘value’ saya,” katanya.
Selain itu, Cik Epal mendedahkan dia turut menerima tawaran lakonan.
“Ada yang tawarkan saya jadi cameo dan sebagainya.
Saya akan lihat tawaran dengan menilai jenis watak, kalau okey saya pertimbangkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Cik Epal mendedahkan senarai harga yang dikenakan bagi memberi ulasan atau tampil mempromosikan mana-mana produk dalam media sosial.
Menerusi perkongsian tersebut, Cik Epal mengenakan bayaran bermula dari RM20,000 sehingga RM100,000 bergantung kepada jenis kandungan promosi yang diinginkan.
Antara bayaran yang dikenakan ialah RM100,000 untuk siaran langsung dalam TikTok selama empat jam. – HIBGLAM