Tak sempat bernafas dan macam pisang goreng panas!
Situasi itu yang berlaku apabila pelakon popular, Fattah Amin melancarkan jenama tudungnya sendiri iaitu Tudung Azizah dengan tujuh rekaan berbeza hari ini.
Menariknya, Fattah atau Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, berkata, kesemua tudung yang dijual bersama ibunya, Azizah Abdul Ghani dan dua adik perempuan iaitu Raihan serta Intan merupakan bidang 50′ selari dengan ‘tagline’ mereka iaitu Menutup Aurat Dengan Sempurna.
“Saya memilih untuk menjual tudung bidang 50′ kerana ibu dan adik-adik saya memang memakai tudung labuh.
“Saiznya lebih besar daripada tudung bawal biasa yang singkat. Saiznya saya rasa macam tengah-tengah sebab boleh dipakai oleh semua orang.
“Malah ramai juga yang minta saya keluarkan tudung saiz ini,” katanya ketika membuat sesi siaran langsung hari ini.
Dalam siaran langsung sama, Fattah sempat ‘mengusik’ dua adik perempuannya yang disifatkan sebagai pemalu untuk berinteraksi ketika menjual tudung.
“Maafkan adik-adik saya, mereka penata gaya ‘beginner’. Terkebil-kebil nak pakaikan tudung pada ibu dan mereka kali pertama buat siaran langsung.
“Mereka pun memang susah nak bercakap, suara pun tak keluar ibarat dalam mulut ada berlian. Saya pun sebelum ini begitu juga tetapi selepas jadi pelakon, barulah banyak cakap.
“Ibu selepas ini pengasas jenama tudung, akan susah nak cari dia nanti,” selorohnya.
Dia juga turut menzahirkan rasa terkejut dan berterima kasih kepada semua individu yang membeli tujuh rekaan tudungnya.
Jenama tudung tersebut juga diilhamkan daripada nama ibunya, Azizah. – HIBGLAM