PELAWAK Along Cham mendakwa isterinya, Afreena Suhaimi menyeleweng duit sumbangan orang ramai mencecah ratusan ribu ringgit yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sepanjang dia ditahan di Penjara Sungai Buloh atas dakwaan memiliki dadah sejak akhir tahun lalu.
Along atau nama penuhnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, dana yang terkumpul hasil sumbangan orang awam termasuk golongan selebriti itu dianggarkan lebih RM100,000.
“Dana-dana dikutip itu katanya untuk kegunaan saya, tetapi tidak sampai kepada pihak saya. Duit yang digunakan untuk ikat jamin semalam adalah daripada ibu saya, Siti Habsah Kadir, ahli keluarga dan Didie Alias.
Bukan sahaja orang awam, selebriti juga beri sumbangan. Dia (Afreena) dakwa duit dana itu nak guna untuk kos perbelanjaan anak lelaki saya, Ahmad Daniel.
“Tapi sepanjang saya ditahan, anak saya diuruskan Didie Alias. Dianggarkan lebih RM100,000 dana yang terkumpul,” katanya kepada HibGlam di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya, hari ini.
Kongsi Along, pelakon Datuk Aaron Aziz juga antara yang menyumbang untuk tabung dana dibuat Afreena sekali gus menjadi salah seorang mangsa ‘scam’.
“Semalam, saya mendapat panggilan daripada abang saya, Aaron Aziz yang kini berada di Uzbekistan. Dia ada memberikan kata-kata semangat.
Paling mengejutkan saya apabila Aaron memaklumkan semalam, isteri saya ada meminta wang RM20,000 tapi Aaron hanya menyumbang RM5,000 kononnya untuk membayar ikat jamin saya.
“Sedangkan wang ikat jamin itu telah pun diselesaikan oleh ibu saya dan Didie. Saya sudah maklumkan kepada Aaron untuk usaha dapatkan kembali wang tersebut,” jelasnya.
Along turut memohon maaf bagi pihak isterinya yang mempergunakan namanya untuk kepentingan sendiri.
Bagi pihak isteri, saya memohon maaf kerana dia menggunakan nama saya. Saya pun tak faham apa motif dia,” katanya lagi.
Sementara itu, Siti Habsah juga sudah membuat laporan polis berhubung penyelewengan dana tersebut.
Katanya, pihak polis akan memanggil mana-mana pihak yang memberi sumbangan dana untuk membuat laporan.
Sebelum ini, Afreena sering mencuri perhatian ramai apabila kerap memuat naik hantaran Instagram yang berharap suaminya diberikan keadilan dan segera dibebaskan.
Semalam, pelakon filem Tiada Tajuk itu membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen Sepang melepaskannya tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan. – HIBGLAM