SELEPAS 15 tahun menjanda, akhirnya peragawati dan pelakon Aleeza Kasim bakal menamatkan zaman solo dalam tempoh terdekat.
Menurut Aleeza, 54, perkenalan dengan lelaki yang identitinya masih dirahsiakan itu berputik dua tahun lalu.
“Benar saya sudah ada calon suami. Bila sampai masanya nanti saya akan umumkan kepada semua.
“Benda yang baik buat apa nak disorokkan,” katanya ketika ditemui HibGlam pada pertunjukan fesyen Butang Emas x Anas Abdullah.
Aleeza yang membuat kemunculan sebagai model utama dan ‘muse’ untuk pertunjukan fesyen tersebut berkata, akan terus bekerja sebagai model sehingga bergelar isteri nanti.
“Saya menjadi model selama 30 tahun. Bidang peragaan adalah cinta pertama saya. Lakonan jatuh nombor dua. Saya bermula sebagai seorang model selepas bergelar Dewi Remaja.
“Insya-Allah saya akan terus bekerja sebagai seorang model sehinggalah saya berkahwin nanti,” ujarnya.
Ditanya faktor yang membuatkannya terbuka hati untuk kembali menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya selepas 15 tahun, kata pelakon filem Panas itu, semuanya takdir Allah.
“Sejujurnya pada mulanya saya sudah rasa tawar hati dengan lelaki. Selama 15 tahun memang ada ramai yang cuba mendekati.
‘Cuma saya pilih untuk berbakti pada ibu saya. Saya tinggal bersama ibu kerana ingin menjaganya. Ibu pun kurang sihat.
“Tetapi lumrah sebagai manusia diciptakan untuk hidup berpasangan. Jadi saya ‘take it easy’ dan berserah pada Allah. Ibu saya pun hampir setiap tahun tanya bila saya nak kahwin lagi. – HIBGLAM