PERNAH dikatakan berselisih faham sehingga salah seorang merajuk, dua pengacara popular, Nabil Ahmad dan Elly Mazlein kini sudah berdamai.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 42, mengakui pernah terjadi perselisihan faham dengan Elly sewaktu mereka sama-sama mengacarakan program Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) pada 2023.
“Kami okey sekarang. Ketika kejadian dulu mungkin terlampau banyak faktor yang menjadikan kami sedikit tegang. Saya pun tertanya-tanya kenapa terjadi seperti itu.
“Selepas kejadian itu masing-masing ambil masa untuk beri ruang. Dan, sekarang alhamdulillah kami berdua okey. Kami sama-sama bekerja di bawah satu bumbung iaitu di Radio Era.
“Saya anggap apa yang terjadi ini seperti pergaduhan adik-beradik. Panas sekejap kemudian okey,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan duta baharu Jakel 2025, semalam.
Sementara itu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata, dia pernah berjauh hati dengan Nabil sewaktu mereka sama-sama mengacarakan GV10.
“Memang saya pernah merajuk ‘manja’ sikit dengan Nabil. Biasalah kawan-kawan. Orang kata bergaduh adik-beradik. Tetapi alhamdulillah ukhuwah antara kami masih lagi kuat.
“Walaupun tidak lagi digandingkan bersama, hubungan kami baik. Kalau kami tidak baik takkanlah kami berdua dilantik menjadi duta Jakel tahun ini,” jelasnya.
Dikhabarkan juga Nabil dan Elly akan bergandingan dalam sebuah program hiburan tidak lama lagi namun masih dirahsiakan butirannya.
Terdahulu, perselisihan faham antara Nabil dan Elly menjadi bualan ramai selepas Elly secara tiba-tiba mengambil keputusan menarik diri daripada menjadi pengacara GV10 pada minggu keempat.
Disebabkan itu hanya Nabil dan Jihan Muse mengendalikan GV10 sehingga minggu akhir. – HIBGLAM