SEPERTI berada di titik terendah kehidupan, penyanyi yang juga pelakon Naim Daniel mendedahkan pernah hampir gila apabila hubungan cintanya dengan seorang wanita selama lima tahun terkandas di tengah jalan.
Enggan berkongsi punca perpisahan dan identiti wanita berkenaan, Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, merasakan tempoh putus cinta tahun lalu merupakan fasa terendah dalam hidupnya.
“Saya yang tinggalkan hubungan empat tahun itu sebab saya rasa nak mencari diri sendiri. Hidup harus diteruskan, jika tiada jodoh, harus bagaimana lagi?
“Jika mahu kata saya hampir gila, ya boleh juga dikatakan begitu.
“Saya tidak kisah jika tiada rezeki dalam percintaan tetapi asalkan masih ada orang yang sokong seperti keluarga, peminat dan media yang mendoakan saya sampai sekarang.
“Saya tidak ingat berapa lama saya ambil masa untuk buat keputusan itu tapi saya tahu itu yang terbaik,” katanya kepada HibGlampada House Party XO House di sini semalam.
Pelantun lagu Sumpah itu bagaimanapun menganggap hubungan tidak kesampaian itu sebagai satu bentuk pembelajaran dalam hidup, Naim menegaskan dia kini berada dalam fasa ‘move on’ dan enggan menoleh ke belakang lagi.
“Selepas masuk 2025, semua yang berlaku tahun lalu buat saya malas mahu fikir lagi.
“Hidup perlu diteruskan, sebab kalau ikutkan saya bukan jenis orang yang ‘pegang’ dan tunggu seseorang. Namun, kalau sudah tak ada rezeki nak buat macam mana.
“Sedikit (kecewa) tapi apa-apa pun sekarang saya malas fikir saya nak bangkit pada tahun ini,” jelasnya.
Mengumpul semua rasa sakit yang dilalui, segala kelukaan tersebut diluahkan dalam sebuah album mini atau EP berjudul Lelaki Gila yang akan dilancarkan kelak.
Ujarnya, album yang terkandung lima buah lagu itu dikatakan sangat peribadi dan terdapat karya ditujukan kepada bekas kekasihnya. – KOSMO! ONLINE