Guna media sosial tarik pelancong melawat Malaysia – Ernie Zakri

PENYANYI Ernie Zakri percaya penglibatan artis mampu menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sekali gus mempromosikan keunikan negara.

Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, yang diberi penghormatan menyanyikan lagu tema rasmi TMM2026 berjudul Surreal Experiences mengakui pengaruh dan sokongan selebriti dapat menguar-uarkan lagi keindahan Malaysia sebagai destinasi wajib dikunjungi kepada masyarakat luar.

Peranan dan perkongsian dalam media sosial sangat penting sama ada menerusi lagu, video atau pengalaman peribadi, semuanya membantu menyampaikan mesej selari dengan hasrat kerajaan dan kementerian terlibat.

“Apabila kita menunjukkan keindahan negara dan mempromosikannya kepada peminat dalam dan luar, secara tidak langsung mereka akan tertarik untuk melawat Malaysia,” katanya.

Berkongsi keterujaan menyanyikan lagu tema TMM2026, pelantun lagu Masing-Masing itu menyifatkan penglibatan dalam kempen tersebut sebagai momen terindah sepanjang kerjaya.

“Lagu ini sangat ‘sing along’ yang disuntik dengan elemen pop supaya mudah diterima semua.

“Mesejnya juga ringan tetapi selari dengan objektif kempen.

“Sebagai penyanyi, tugas saya bukan hanya menyanyikan lagu ini tetapi juga mempromosikan industri pelancongan Malaysia melalui platform media sosial,” ujarnya lagi.

TIONG King Sing memaklumkan kempen TMM2026 beri fokus kepada dua teras utama iaitu pelancongan mampan dan berkualiti tinggi.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, memaklumkan kempen terbabit adalah langkah strategik untuk membentuk legasi yang memberi impak besar kepada ekonomi dan masyarakat.

“Kempen ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk menawarkan pengalaman bermakna sambil melindungi khazanah unik negara.

“Ini juga bertujuan meningkatkan ketibaan pelancong dengan menukar lawatan singkat kepada penginapan lebih lama, memperkayakan pengalaman pelancongan budaya dan eko serta menggalakkan perbelanjaan lebih tinggi melalui promosi pelancongan khusus,” jelasnya.

Kempen TMM2026 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini baru-baru ini menjadi antara agenda penting kementerian menjelang 2026.

Dalam majlis sama, logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas TMM2026 turut diperkenalkan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok